DUNIA

Ketua IAEA Mungkin Lawat Loji Kuasa Nuklear Kursk Awal Minggu Depan - Diplomat Rusia

22/08/2024 03:28 PM

VIENNA, 22 Ogos (Bernama-TASS) -- Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi mungkin akan melawat loji kuasa nuklear (NPP) Kursk di barat daya Rusia awal minggu depan, kata Wakil Tetap Rusia ke pertubuhan antarabangsa yang berpangkalan di Vienna, Mikhail Ulyanov.

"Ketua pengarah IAEA menyatakan hasrat secara terbuka untuk melawat loji kuasa nuklear Kursk minggu depan. Saya berpendapat bahawa lawatan itu mungkin berlaku pada awal minggu depan dan bukannya pada hujung minggu," menurut catatan diplomat Rusia itu di Telegram, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

Grossi sebelum ini mengadakan perbualan telefon dengan Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan nuklear negara Rusia, Rosatom, Alexey Likhachev, pada 17 Ogos.

Ini adalah perbualan kedua mereka bulan ini, dengan perbualan pertama berlangsung pada 9 Ogos.

Selepas perbincangan itu, Likhachev menjemput Grossi untuk melawat loji kuasa nuklear Kursk dan bandar Kurchatov secepat mungkin bagi melihat sendiri situasi di sekitar kemudahan nuklear terbabit. Grossi menerima jemputan itu.

Pada 9 Ogos, Rusia memaklumkan IAEA mengenai situasi di sekitar loji kuasa nuklear Kursk susulan dakwaan pencerobohan Ukraine ke sempadan Wilayah Kursk, Rusia.

-- BERNAMA-TASS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan