EKONOMI

Ekosistem Holistik E&E Pulau Pinang Faktor Utama Pelaburan Semula MNC - Chow

22/08/2024 04:47 PM

GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Kelebihan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang yang holistik menjadi faktor utama bagi syarikat multinasional (MNC) membuat keputusan pelaburan untuk mengembangkan operasi di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata persepsi itu diperoleh menerusi misi pelaburan dan perdagangan diketuai beliau ke Amerika Syarikat pada 4-14 Ogos, 2024 yang menumpukan kunjungan ke atas syarikat-syarikat beroperasi di Pulau Pinang selain yang berpotensi untuk melabur.

“Kebanyakan syarikat-syarikat ini mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan membina kemudahan baharu di tanah kosong di lokasi sedia ada.

“Menerusi kunjungan (ke AS), saya boleh katakan yang mereka berpuas hati dengan apa ditawarkan oleh Pulau Pinang berikutan ekosistem sedia ada dapat menyokong rancangan pertumbuhan syarikat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak PKS India MADANI Pulau Pinang 2024 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Chow berkata Pulau Pinang yang turut dikenali sebagai Lembah Silikon Timur, turut menyediakan asas kukuh bagi kemajuan industri E&E, dipacu oleh barisan tenaga kerja yang mantap, sokongan kerajaan, infrastruktur serta dasar berkaitan.

Enggan selesa dengan kelebihan itu, beliau menegaskan Pulau Pinang sebaliknya akan terus memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu dalam bulan-bulan akan datang bagi merancakkan lagi ekosistem industri E&E negeri berkenaan.

Sejajar alasan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan inisiatif  ‘Penang Silicon Design @ 5km+' yang merangkumi empat projek utama iaitu Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital, Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang, Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon dan Pelan Hala Tuju Bakat STEM Pulau Pinang.

“Menerusi usaha sedemikian, kita menyasarkan untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai hab utama bagi inovasi dan reka bentuk semikonduktor, sekali gus mengukuhkan peranan strategik dalam mencapai matlamat besar Malaysia.

“Langkah memajukan keupayaan dan memupuk ekosistem kukuh juga seiring hasrat untuk menarik pelaburan global, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan memacu kemajuan teknologi yang memberi manfaat kepada negeri serta negara,” katanya.

Mengulas acara sehari yang berlangsung hari ini, Chow berkata sidang kemuncak itu mengetengahkan peluang unik untuk merangka masa depan perusahaan kecil dan sederhana tempatan, khususnya yang dimiliki pengusaha India.

Usaha itu turut menjadi pemangkin bagi perubahan bermakna selain memperkasa Pulau Pinang ke arah kepelbagaian ekonomi dan inovasi teknologi yang lebih hebat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan