EKONOMI

Eupe Corp Jangka Projek Bangsar Jana GDV RM300 Juta

22/08/2024 05:46 PM

PETALING JAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Eupe Corporation Bhd (ECB) menjangka nilai pembangunan kasar sebanyak RM300 juta menerusi projeknya di Bangsar, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Beh Huck Lee.

Menurutnya, melihat kepada situasi pasaran pada masa ini, beliau menjangka projek itu boleh dilaksanakan oleh kumpulan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Mei lepas, Eupe Corp berkata anak syarikatnya Eupe Bangsar Sdn Bhd (EBSB) memeterai perjanjian jual beli dengan MCL Land (Pantai View) Sdn Bhd untuk membeli tanah pegangan bebas kira-kira 1 hektar di Lot 51863 di ibu negara bernilai RM69.18 juta.

EBSB adalah anak syarikat milik penuh Eupe Kemajuan Sdn Bhd (EKSB). EKSB pula anak syarikat milik penuh ECB.

“Bangunan ini tidak terlalu tinggi. Oleh itu, kami sewajarnya dapat menyiapkan (projek ini) dalam tempoh empat tahun sebelum 2030," kata Beh pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.

Perolehan dan keuntungan sebelum cukai kumpulan itu masing-masing sebanyak RM340.2 juta dan RM57.8 juta, dengan peningkatan tahunan 68 peratus dan 56 peratus.

Sementara itu, Beh dalam kenyataan berkata tiga projek utama kumpulan pada masa ini iaitu Est8 @ Seputeh, Helix2 @ PJ South, dan Villa Natura di Kedah, hampir terjual sepenuhnya.

Menurut kenyataan itu, Circadia @ Belfield di Kuala Lumpur dan Edgewater di Sungai Petani, Kedah dijadual dilancarkan pada 2025 sekali gus masih kekal sebagai dua projek terbesar kumpulan setakat ini.

Beh berkata kejelasan pendapatan kumpulan yang kukuh adalah hasil daripada jualan sedia ada yang teguh, khususnya jumlah jualan hartanah yang belum dituntut, melebihi RM710 juta.

Menurutnya ECB mencatat nisbah hutang yang sihat sebanyak 0.23 kali ganda walaupun kumpulan membiayai pembelian tanah tambahan di Edgewater pada tahun kewangan 2024.

Kumpulan itu mencatat dividen sebanyak 2.2 sen untuk tahun kewangan 2024 berbanding 1.5 sen pada tahun kewangan 2023.

Menurut Beh kumpulan telah melaksanakan kerja asas untuk pertumbuan peringkat seterusnya menerusi projek yang lebih kompleks dan besar serta terus membina profil pasarannya berdasarkan pembezaan produk yang inovatif dan berkualiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan