AM

Pusat Media Antarabangsa China 2024 Siri Kedua Bermula

22/08/2024 07:23 PM

Daripada Marfika Adnan Haris Fadzilah

BEIJING, 22 Ogos (Bernama) -- Dua wartawan Malaysia antara 94 peserta dari seluruh dunia yang terpilih menyertai program Pusat Media Antarabangsa China 2024 siri kedua, di sini, bermula Isnin lepas hingga 15 Disember ini.

Program inisiatif Persatuan Diplomasi Awam China (CPDA) di bawah kelolaan Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) itu bertujuan memperkukuh pemahaman global mengenai negara Tembok Besar tersebut dengan menggalakkan kerjasama antara organisasi media dari 84 negara membangun.

Penulis mewakili Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Muhammad Luqman Hakim Mahari daripada New Straits Times terpilih sebagai peserta Malaysia. 

Berucap ketika majlis pembukaan program itu, di sini, Pengarah CIPCC Yu Lei berkata program yang dilancarkan pada 2014 itu telah menunjukkan kemajuan ketara dengan penglibatan peserta dari pelbagai negara.

“CPDA melancarkan Pusat Media China-Afrika pada 2014, menandakan langkah pertama kerjasama praktikal antara media China dan media di negara-negara membangun dengan menjemput wartawan Afrika ke China," katanya.

Beliau berkata antara 2015 dan 2018, inisiatif itu berkembang kepada penubuhan Pusat Media China-Asia Pasifik, Pusat Media China-Amerika Latin, Pusat Media China-Carribean Pasifik dan Pusat Media China-Negara-Negara Arab yang disatukan menjadi CIPCC.

Antara negara yang turut serta dalam program tersebut kali ini ialah Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Laos, Dominica, Panama, Honduras, Mexico, Brazil, Rusia, Mongolia, Fiji dan Pakistan.

Yu berkata peserta akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti merangkumi enam bidang utama iaitu program utama domestik dan diplomatik, latihan kewartawanan dan hal ehwal negara, pengalaman penghayatan budaya, lawatan dalam dan luar Beijing, serta latihan amali di agensi media utama di China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan