AM

Abd Rahim Yassin Dimasyurkan Sebagai Undang Luak Rembau Ke-22

22/08/2024 07:28 PM

REMBAU, 22 Ogos (Bernama) -- Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin dimasyurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dalam Istiadat Pemasyuran di Balai Undang Luak Rembau di sini hari ini.

Istiadat itu dimulakan dengan acara pengumuman diikuti tembakan meriam dan Istiadat Menjemput sebelum Lagu Luak Rembau dimainkan seterusnya penyerahan Keris Pesaka kepada Abd Rahim.

Majlis kemudian diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Kasih dan lafaz ikrar sebelum bacaan doa yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan Amran Awaludin.

Abd Rahim dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin kerana berjaya melaksanakan Proses Pemilihan Pesaka Undang Luak Rembau mengikut tatacara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Abdul Razak serta Pegawai Daerah Rembau Mohd Zamri Mohd Esa yang mempengerusikan istiadat berkenaan dan semua pihak yang hadir sebagai tanda sokongan terhadap beliau serta institusi adat di Luak Rembau.

"Berkenaan kemelut yang berlaku sepanjang proses pemilihan ini, kami memberi jaminan perkara ini akan diambil tindakan sewajarnya. Terima kasih kepada pihak yang memberi pandangan," katanya.

Pemilihan Undang Luak Rembau diadakan bagi menggantikan Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei. 

Pemilihan Undang di Negeri Sembilan perlu dipilih daripada calon-calon Suku Biduanda selaku suku asal di negeri ini dan terdapat 12 Suku dalam sistem Adat Perpatih. 

Abd Rahim, 68, yang dilahirkan di daerah ini ialah Orang Besar Undang Yang Empat bergelar Datuk Shahbandar mulai Feb 1999 dalam Institusi Undang Luak Rembau.

Beliau berpengalaman sebagai guru di beberapa sekolah di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan serta pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Rembau sebelum bersara pada 2014.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau 2015 dan Tokoh Guru Daerah Rembau pada 2016 selain dilantik Ahli Majlis Daerah Rembau sejak 2017 sehingga kini.

  -- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan