AM

Hujan Lebat Berterusan, Dinding Penahan Tanah Di Taman Bunga Raya Runtuh

22/08/2024 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Hujan lebat berterusan sejak 4 petang tadi telah menyebabkan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang berhampiran Kem Wardieburn runtuh sehingga menjejaskan sebuah rumah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 5.43 petang tadi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit yang menjejaskan sebuah rumah di kawasan itu.

“Pihak polis memaklumkan penghuni rumah itu dan kawasan yang berhampiran supaya berpindah untuk sementara demi keselamatan  selain mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini kerana didapati masih berlaku pergerakan tanah,” katanya.

Operasi pemantauan masih dilakukan oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian.

Sementara itu, hujan lebat selama beberapa jam itu juga menyebabkan beberapa kawasan dan jalan raya sekitar ibu negara dilanda banjir kilat termasuk di kawasan parkir terbuka di hadapan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini serta kawasan berhampiran.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 50 kenderaan diletakkan di kawasan itu yang kebanyakannya milik pewakilan sedang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 selain pekerja di premis perniagaan berhampiran, ditenggelami air sedalam setengah meter ekoran limpahan air Sungai Gombak.

Pemerhatian juga mendapati pemilik kenderaan yang terlibat turut bergotong royong menolak kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi.

Jabatan Penerangan Kuala Lumpur dalam perkongsian di media sosial pula menyatakan selain di kawasan parkir terbuka WTC, kawasan lain dilaporkan dinaiki air ialah Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting Klang, Jalan Dutamas, Jalan Kepong dan Jalan Kuching.

Setakat ini pihak berkuasa seperti bomba, Dewan Bandaraya dan polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian banjir, pokok tumbang serta situasi terkini trafik di sekitar Kuala Lumpur dan hanya memaklumkan masih melakukan pemantauan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan