EKONOMI

RHB IB Semak Turun Unjuran Inflasi 2024 Kepada 2.1 Peratus

22/08/2024 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menyemak turun unjurannya bagi inflasi keseluruhan 2024 Malaysia kepada 2.1 peratus daripada unjuran pada 2.6 peratus sebelum ini.

Bank pelaburan itu turut menjangkakan inflasi teras 2024 pada purata 2.0 peratus.

“Semakan ini berdasarkan impak yang tidak ketara susulan pelarasan harga diesel dan perubahan tarif utiliti terhadap inflasi keseluruhan.

“Unjuran ini juga dipengaruhi oleh penangguhan rasionalisasi subsidi petrol RON95 sehingga akhir 2024 (paling awal), dan kadar inflasi yang lebih perlahan berbanding dengan jangkaan untuk tahun ini setakat ini,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Menurut RHB IB, tekanan inflasi masih boleh kawal, dengan inflasi keseluruhan meningkat sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun untuk tujuh bulan, berbanding dengan unjuran awal pada 2.1 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama.

“Selain itu, unjuran kami sebelum ini mengambil kira potensi kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan susulan semakan terhadap cukai perkhidmatan, dengan kesan yang dijangkakan sebanyak 0.3 hingga 0.6 peratus.

“Pada ketika ini, kesan pelarasan cukai perkhidmatan ke atas inflasi keseluruhan adalah minimum, dengan tiada peningkatan ketara diperhatikan sejak pelaksanaannya pada 1 Mac,” jelasnya.

Oleh itu, inflasi keseluruhan dijangkakan kekal stabil pada 2.0 hingga 2.3 peratus tahun ke tahun bagi baki tempoh tahun ini, dengan mengandaikan penangguhan pelarasan harga bahan api RON95, tambah RHB IB.

Bank pelaburan itu menjelaskan trajektori inflasi akan bergantung kepada garis masa pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dan kuantum pelarasan harganya, potensi peningkatan permintaan bagi pengeluaran sebahagian dana pencen serta kesan sampingan daripada harga komoditi dan makanan global yang tinggi.

“Kenaikan gaji kakitangan awam yang dirancang (berkuat kuasa Disember 2024) juga boleh meningkatkan tekanan inflasi tarikan permintaan.

“Kami akan terus memberi perhatian kepada sebarang cadangan langkah pengukuhan fiskal (termasuk butiran penyasaran semula subsidi RON95) yang akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025, pada 18 Oktober ini,” tambahnya.

RHB IB memaklumkan kerajaan mungkin menilai kesan pelarasan harga diesel yang tertunda dan langkah fiskal lain seperti semakan terhadap cukai perkhidmatan dan tarif utiliti, terhadap trajektori inflasi dan ekonomi sebelum melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan