AM

Remaja Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Rakan

22/08/2024 10:07 PM

KUALA NERUS, 22 Ogos (Bernama) -- Kegembiraan tujuh sekawan mandi di Sungai Terengganu di Kampung Batin di Seberang Takir dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas petang tadi.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Muhammad Hafiz Mohd Nor berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, mangsa Nor Danish Hafidz Nor Azman, 15, dikatakan mandi di sungai terbabit setelah pulang dari sekolah bersama rakan-rakannya.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.22 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 4.29 petang dengan kekuatan enam anggota dari BBP Kuala Terengganu dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta empat jentera termasuk FRT (Fire Rescue Tender).

"Mayat mangsa ditemukan pada 5.40 petang setelah pasukan penyelamat melakukan selaman pertama pada 5.35 petang, pada jarak 50 meter dari tebing dan kedalaman tiga meter di dasar sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak setelah pulang dari sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Farid Ashraf Faizul, 15, berkata kejadian berlaku apabila Nor Danish Hafidz berjalan di atas sebuah tongkang yang berlabuh di tepi sungai, sebelum dia terjun ke sungai dan kemudiannya dipercayai mengalami kekejangan kaki.

"Tiba-tiba dia dilihat seperti mengalami kekejangan kaki dan tangannya terkapai-kapai, jadi saya pun turun ke sungai untuk cuba menyelamatkannya, namun saya tidak cukup nafas dan terpaksa kembali semula ke tebing. Selepas itu, seorang kawan kami terus memanggil orang kampung untuk meminta bantuan," katanya.

Remaja itu berkata semalam, Nor Danish Hafidz yang tinggal di Taman Permint Perdana Fasa Dua di Kampung Batin dekat sini turut mandi di lokasi sama dan hampir lemas, namun terselamat.

"Tetapi, hari ini dia (mangsa) sekali lagi ingin mandi di sungai itu dan katanya hendak mandi untuk kali terakhir," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan