POLITIK

Mesyuarat MT UMNO Dengar Perkara Dibangkitkan Tiga Sayap - Mohamad Hasan

22/08/2024 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini mendengar laporan mengenai perkara yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang bersidang hari ini.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia dilaporkan oleh wakil MT yang menghadiri persidangan ketiga-tiga sayap berkenaan.

“(Mesyuarat) ini khusus untuk wakil MT yang hadir pada ketiga-tiga mesyuarat ini melaporkan apa yang telah dibahaskan perwakilan ketiga-tiga sayap. Alhamdulillah, tahun ini nampaknya perbahasan dilakukan dengan baik … pelbagai perkara yang telah dibincangkan dan banyak usul yang telah dibawa oleh ketiga-tiga peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn di sini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata antara isu yang diberikan tumpuan oleh ketiga-tiga sayap berkenaan ialah berkaitan peluang tenaga muda untuk bersama-sama mengurus parti, keberkesanan dasar pendidikan yang perlu dilihat semula selaras dengan perubahan teknologi serta agenda pemerkasaan wanita. 

Mengenai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamad berkata perkara itu telah dipersetujui sebelum ini supaya pemilihan calon dibawa daripada bahagian untuk diangkat ke perhubungan negeri, seterusnya dibincangkan dengan kepimpinan tertinggi parti. 

“Dengar khabarnya bahagian telah buat perbincangan dalaman dan mereka akan buatkan senarai pendek. Kita tidak mahu satu nama, biasanya kita minta sekurang-kurangnya tiga nama supaya dapat buat penilaian, kita akan buat saringan tertentu,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa calon yang bakal dipilih tidak semestinya daripada sayap wanita parti itu.

“Tidak ada ketentuan lagi (calon akan kekal wanita). Bukan kerana kerusi itu dulu (penyandangnya daripada) wanita kita mesti bagi kepada wanita. Ia akan dibincangkan dengan lebih mendalam,” katanya.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan