AM

Malaysia Tidak Akan Tinggalkan Rakyat Palestin Berjuang Sendiri - Ahmad Zahid

23/08/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Malaysia tidak akan meninggalkan rakyat Palestin berjuang bersendirian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Mengulangi pendirian dizahirkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid berkata Malaysia tidak akan lupa apatah lagi leka dalam membela nasib rakyat Palestin, yang menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman rejim Zionis Israel.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri atas kelantangannya menyatakan pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menyentuh perkara sama, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berusaha membawa rakyat Palestin mendapatkan rawatan di hospital angkatan tentera di negara ini. 

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar dalam peranan aktif sehingga membawa kepada penerimaan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

“Ini bukti bahawa kita tidak hanya berpolitik, kita komited. Insya-Allah kita akan meneruskan sokongan sehingga Palestin dapat menghirup udara kemerdekaan dalam erti kata sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus mempertahankan Sabah daripada tuntutan pihak luar. 

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said susulan kejayaan di Mahkamah Antarabangsa The Hague Belanda, Perancis dan Sepanyol dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu.

“Kejayaan ini amat bermakna buat kedaulatan rakyat negeri Sabah. Kepada rakan-rakan dari Sabah, kita akan pertahankan bumi Sabah. Kita tak rela ada pihak lain menuntut bumi Sabah, Sabah sebuah negeri bumi merdeka,” katanya. 

Penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa, yang mengeluarkan Award Akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana menghina mahkamah.

Azalina pada 8 Jan lepas berkata Mahkamah Sepanyol turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.

Malaysia memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya berhubung Award Akhir di negara lain.

Pada 28 Feb 2022, Stampa mengeluarkan Award Akhir itu kepada lapan warga Filipina terbabit dan bagi menguatkuasakannya, mereka dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan