SUKAN

SUKMA 2024: Wilayah Persekutuan Terus Mencabar Sarawak

23/08/2024 11:44 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Saingan untuk gelaran juara keseluruhan semakin sengit, apabila tuan rumah Sarawak dan Wilayah Persekutuan hanya dibezakan dengan tiga pingat emas setakat 11 malam ini.

Sarawak telah mencapai sasaran 70 pingat emas hari ini namun gelaran juara keseluruhan masih belum dimuktamadkan apabila berbaki 45 pingat emas lagi akan dipertandingkan esok.

Setakat 10.30 malam ini, Sarawak mengutip 72 pingat emas, 52 perak dan 66 gangsa manakala Wilayah Persekutuan mengekori rapat dengan 69-62-68.

Sarawak pernah muncul juara keseluruhan sebanyak tiga kali berturut-turut, iaitu pada edisi 1990, 1992 dan 1994 manakala Wilayah Persekutuan dinobatkan juara keseluruhan pada edisi sulung 1986 (sebagai Kuala Lumpur) dan 2014.

Sebanyak 14 pingat emas ditawarkan dalam sukan pelayaran, e-sukan (tujuh), catur (enam), gimnastik artistik dan badminton (masing-masing lima) dan hoki, kriket, petanque (masing-masing dua) dan sebutir emas dalam acara ping pong.

Turut menarik perhatian aksi final bola sepak lelaki antara Wilayah Persekutuan dan Melaka untuk memburu ‘ibu segala pingat’ berlangsung 3 petang di Stadium Mukah.

Sementara itu, dua sukan yang menawarkan pingat emas terbanyak iaitu olahraga dan akuatik, menutup tirai selepas lima hari persaingan sengit hari ini. 

Wilayah Persekutuan muncul juara renang dengan kutipan 16 emas, lapan perak dan tujuh gangsa daripada 41 pingat emas dipertadingkan manakala Sarawak terus menguasai terjun dengan meraih sembilan emas, tiga perak dan dua gangsa daripada 12 emas ditawarkan.

Johor mempertahankan kejuaraan dalam acara trek dan padang apabila meraih sembilan emas, lima perak dan empat gangsa.

Pelari kebangsaan Umar Osman, yang mewakili Johor, terus cemerlang apabila memadam rekod kebangsaan 800m lelaki SUKMA berusia 32 tahun menerusi catatan satu minit dan 51.19 saat (s), mengatasi catatan 1:52.35s milik G. Ampumani yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada edisi 1992 untuk emas keempat.

Sebanyak tiga rekod kebangsaan diperbaharui oleh dua atlet angkat berat Terengganu, dengan Siti Aqilah Farhana Draman dalam snatch dan angkatan keseluruhan bagi kategori lebih 76 kilogram (kg) wanita, manakala Muhammad Izzan Ismadi memperbaharui rekod clean and jerk kategori 96kg lelaki.

Dua rakan sebilik di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Muhammad Bariq Adif Mat Daud dan Wilson Yeoh Wei Sin, yang masing-masing mewakili Johor dan Pulau Pinang, turut berkongsi pingat emas apabila kedua-dua meraih 12.000 mata acara gelang roman di arena gimnastik artistik. 

Selangor pula mencatat sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama bola sepak wanita selepas mengejutkan pasukan pilihan Sabah 3-1, manakala skuad futsal lelakinya meraih emas buat kali pertama menerusi kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan