DUNIA

Diplomasi Ekonomi Malaysia-India Langkah Pengukuhan ASEAN - Pakar

24/08/2024 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Malaysia terus memperkukuh hubungan dua hala dengan negara serantau termasuk India, melalui pelbagai inisiatif ekonomi dan pelancongan, sebagai persediaan untuk memimpin ASEAN pada 2025 dan menghadapi cabaran global.

Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India baru-baru ini membuktikan komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata hubungan Malaysia-India yang kukuh, termasuk melalui kerjasama dalam sektor ketenteraan dan visa pekerja juga memainkan peranan penting.

“Ketika Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN, kita berharap kerjasama ASEAN-India yang sedia ada seperti ASEAN India Partnership Peace, Progress and Shared Prosperity diperkukuhkan bagi memastikan hubungan ekonomi dan pelaburan yang lebih baik di kalangan negara-negara anggota ASEAN dan India,” katanya dalam program “Ruang Bicara” siaran Bernama TV pada Jumaat malam.

Berhubung pelaksanaan visa tanpa had untuk pekerja India di Malaysia yang menjadi isu utama perbincangan semasa lawatan Anwar, Roy menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah proaktif untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di Malaysia. 

“Visa ini bukan hanya untuk pekerja ladang tetapi juga untuk tenaga mahir dari India, termasuk dalam bidang IT dan perubatan. Ini penting untuk memastikan kelangsungan produktiviti dan inovasi dalam pelbagai sektor di Malaysia,” jelasnya.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar turut menyentuh tentang pentingnya Malaysia memperkasa industri pelancongan dengan memberi fokus kepada pelancong dari India. 

“Kita sering terlupa bahawa India merupakan penyumbang besar kepada sektor pelancongan Malaysia. Promosi pelancongan perlu dipertingkatkan dengan memberi tumpuan kepada kehendak dan minat pelancong India,” katanya.

Dalam industri semikonduktor, Dr Wan Rohila berpendapat bahawa Malaysia masih dalam fasa penerokaan berbanding India yang sudah maju dalam bidang berkenaan. 

“Banyak yang boleh kita belajar dari India, terutama dari segi inovasi dan amalan terbaik dalam industri semikonduktor. 

“Pertukaran ilmu dan kerjasama dalam sektor ini perlu diberi penekanan,” katanya.

Menyentuh soal pelaburan, Dr Wan Rohila menambah bahawa Malaysia telah berjaya menarik minat pelabur dari India dengan potensi perdagangan sebanyak RM8 bilion dan komitmen pelaburan RM4.5 bilion. 

“Langkah seterusnya adalah memastikan potensi ini direalisasikan sepenuhnya untuk memanfaatkan ekonomi negara,” katanya.

Anwar tiba di New Delhi pada 19 Ogos bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-India yang terjalin selama 67 tahun selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa depan.

Lawatan ke India kali ini turut menyaksikan pemeteraian lapan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan India serta tujuh MoU B2B (Perniagaan kepada Perniagaan) antara kedua-dua negara.

Beliau juga memanjangkan jemputan kepada Presiden India Droupadi Murmu dan Modi untuk melawat Malaysia bagi meningkatkan momentum hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan