AM

Sidang Kemuncak Dunia Wanita Islam : 5,000 Pemimpin, Profesional Wanita Dijangka Hadir

24/08/2024 12:40 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 5,000 pemimpin, usahawan dan profesional wanita dalam dan luar negara dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Dunia Wanita Islam, yang dijadual berlangsung pada September ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sidang kemuncak yang bertemakan The Powerful Women Next Generation Vanguard of Feminine Power akan melibatkan penyertaan peserta dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Sidang kemuncak selama tiga hari itu akan menjadi platform untuk wanita di seluruh dunia Islam berkongsi idea, pengalaman, membina rangkaian dan membentuk visi bersama demi masa depan negara,” katanya yang juga Presiden Sidang Kemuncak Dunia Wanita Islam 2024 kepada Bernama.

Beliau berkata sidang kemuncak itu dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Pada majlis prapelancaran sidang kemuncak itu pada Februari, Ahmad Zahid menggesa peserta sidang kemuncak itu untuk merebut peluang menyuarakan hak wanita dan bekerjasama ke arah satu masa hadapan dengan setiap wanita boleh berkembang maju dan memberi impak kepada dunia.

Sementara itu Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO berkata pihaknya juga menyasarkan 30 peratus daripada kepimpinan Wanita UMNO di setiap peringkat, terdiri daripada wanita profesional yang meliputi usahawan berjaya, tokoh korporat dan ahli akademik.

Beliau berkata ini bagi memastikan aliran idea baharu yang berterusan dan kesinambungan kepimpinan yang kukuh.

Noraini berkata dalam arena ekonomi, Wanita UMNO juga perlu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan Malaysia yang menjuarai industri halal yang kini bernilai US$2.3 trilion dan dijangka mencecah US$3.3 trilion menjelang 2025, dengan nilai eksport produk halal Malaysia sudah mencecah RM54 bilion pada tahun lepas.

“Presiden UMNO (Ahmad Zahid) juga ada berkongsi maklumat mengenai potensi industri halal ini dan beliau menyatakan bahawa supaya saya dan Wanita UMNO untuk melihat bagaimana kita boleh bantu usahawan wanita dalam bidang halal yang besar.

“Kita terima cabaran dan kita akan buat perbincangan bersama dan kolaborasi bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi kita dapat melaksanakan dan kenal pasti usahawan berpotensi untuk mendapat sijil halal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan