BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

Bangunan Baharu Hospital Dungun Tingkat Kualiti Perkhidmatan Kesihatan

24/08/2024 04:24 PM

DUNGUN, 24 Ogos (Bernama) -- Bangunan baharu Hospital Dungun yang akan beroperasi 1 Okt ini bakal memberikan manfaat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi 190,000 penduduk di daerah itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembinaan dengan kos keseluruhan RM153 juta dan siap Jun lepas itu, bertujuan menaik taraf Hospital Dungun sedia ada daripada hospital tanpa pakar kepada hospital pakar minor. 

“Hospital yang sedia ada ini merupakan hospital tanpa pakar, maka ia tidak dilengkapi unit rawatan rapi (ICU) dan dewan bedah. Ini menyebabkan kes-kes yang kompleks perlu dirujuk ke Hospital Kemaman sebagai hospital utama untuk kluster Terengganu Selatan. Malah ada yang perlu dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

“Jadi pembinaan hospital baharu yang dinaik taraf menjadi hospital pakar minor ini melibatkan 11 bidang kepakaran termasuk perubatan am, pembedahan am, pediatrik dan pergigian dan ortopedik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Kota Putera dan Klinik Kesihatan Paya Datu di Lobi Hospital Dungun, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata bangunan baharu Hospital Dungun, yang terletak kira-kira dua kilometer dari bangunan sedia ada, meningkatkan kapasiti katil kepada 218, empat dewan bedah dan enam katil ICU serta dilengkapi fasiliti perubatan terkini.

Dalam pada itu, katanya Projek Klinik Kesihatan Kota Putera di Besut akan mula beroperasi 2 Sept ini bagi menggantikan klinik sebelum ini yang telah ditutup Julai lepas.

Menurutnya klinik baharu melibatkan kos RM32.4 juta itu menawarkan 27 skop perkhidmatan termasuk perkhidmatan pesakit luar, rawatan penyakit kronik, penjagaan kesihatan ibu dan anak selain beberapa perkhidmatan baharu seperti klinik maya dan rehabilitasi.

Sementara itu, Dzulkefly berkata Klinik Kesihatan Paya Datu di Kuala Terengganu yang akan beroperasi 1 Okt, menawarkan perkhidmatan lebih komprehensif berbanding klinik desa sebelum ini, iaitu menyediakan Unit Pesakit Luar, Unit Kesihatan Ibu dan Anak, Perkhidmatan Kecemasan dan farmasi.

“Perkhidmatan di klinik baharu ini melibatkan 31 perjawatan termasuk doktor berbanding klinik desa sebelum ini yang hanya mempunyai tiga orang jururawat,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan