BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

90 NADI Bakal Beroperasi Sepenuhnya Di Perak Hujung Tahun Ini - Exco

24/08/2024 04:27 PM

IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan Perak bakal mempunyai 90 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang lengkap dengan pelbagai fasiliti menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi berkata buat masa ini sebanyak 71 NADI beroperasi sepenuhnya di 13 daerah di negeri ini.

“Sebanyak 19 lagi NADI baharu diluluskan untuk diwujudkan di negeri ini, 11 buah sudah pun siap manakala baki sebanyak lapan sedang disiapkan.

"Buat masa ini kelapan-lapan NADI ini berada pada fasa akhir pembinaan dan kita jangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya selepas Majlis Pelancaran MCMC Microsoft AI Teach Peringkat Negeri Perak di Hab Inovasi dan Multimedia, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Azlan berkata pihaknya dalam perbincangan akhir bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan program turun padang yang menawarkan perkhidmatan seperti yang terdapat di NADI.

“Program ini boleh memberi nilai tambah kerana kita berdepan kekangan untuk mewujudkan NADI di setiap kampung namun perluasan perkhidmatan NADI di sekitarnya dapat memberikan manfaat kepada  masyarakat secara lebih meluas,” katanya. 

Sementara itu, mengenai program MCMC Microsoft AI Teach, beliau berkata seramai 208 peserta terpilih di negeri ini bagi mengikuti program pembangunan kapasiti kecerdasan buatan (AI).

Pemilihan peserta terdiri dalam kalangan pelbagai golongan termasuk B40, orang kurang upaya (OKU) dan penganggur.

“Program ini dapat memperkenalkan kemahiran teknologi AI kepada rakyat Perak secara mudah dan berkesan. Ini satu peluang dalam mengurangkan jurang kerjaya melalui pengajaran dan pembelajaran set kemahiran digital yang baharu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan