SUKAN

Anwar Puji Prestasi, Semangat Perpaduan Atlet Pada SUKMA 2024

24/08/2024 11:45 PM

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji prestasi cemerlang dan luar biasa dipamerkan semua atlet yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Beliau berkata semangat juang tinggi yang dipamerkan setiap atlet bertanding telah berjaya membawa kepada kejayaan memecahkan beberapa rekod kebangsaan dan temasya kali ini.

Anwar berkata lebih membanggakan, di sebalik perjuangan untuk meraih kemenangan dalam acara yang ditandingi, para atlet tetap bersaing dengan semangat perpaduan dan menjalin hubungan akrab dalam kalangan atlet dari kontinjen lain.

"Semangat kesukanan dan perpaduan yang sangat hebat ini yang kita hendak pupuk. Kadang-kadang kita dengar ada (sukan) di antara negeri, jabatan, wilayah, sekolah dan universiti terlalu sengit.

"Semangat ini perlu dikekalkan dan ini yang disebut sebagai ihsan dalam MADANI, tahniah anak Sarawak dan semua kontinjen kerana menunjukkan perpaduan yang sangat tinggi," katanya ketika berucap di majlis penutupan SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Perdana Menteri seterusnya mengucapkan tahniah kepada Sarawak yang muncul juara SUKMA 2024 dengan merangkul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa. 

Beliau turut 'mencabar' kontinjen Bumi Kenyalang supaya mempertahankan kejuaraan itu pada edisi akan datang di Selangor pada 2026.

"Sarawak dapat pertahankan prestasi ini atau tidak, kita lihat pada (SUKMA) 2026 nanti. 

"Hebat Sarawak ini, ini baru semangat Segulai Sejalai. Tahniah juga kepada Wilayah Persekutuan yang memberi saingan sengit, dan pada saat akhir, Sarawak catat kemenangan sebagai kontinjen terbaik," katanya.

Ini merupakan kali keempat Sarawak muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA, selepas edisi 1990, 1992 dan 1994.

Sementara itu Wilayah Persekutuan menamatkan saingan pada SUKMA 2024 di tempat kedua dengan 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa.

Anwar turut mengucapkan tahniah  kepada kerajaan negeri dan semua pihak atas kejayaan penganjuran SUKMA 2024 yang disifatkan beliau sebagai antara yang terbaik pernah dianjurkan di Malaysia. 

“Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada anak-anak yang mencatat kemajuan, bekerja bertungkus lumus, guru, pendidik, pelatih dan seluruh jentera yang menjayakan SUKMA ke-21 di Sarawak,” katanya. 

Temasya edisi ke-21 itu yang bermula secara rasmi pada 17 Ogos lepas melabuhkan tirainya malam ini.

SUKMA diperkenalkan pada 1986 dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan kebangsaan itu pada 1990 dan 2016. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan