AM

Kepala Air: Kajian Lokasi Bina Jambatan Bailey Selesai, Memuaskan - Nizar

25/08/2024 03:54 PM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Kajian terhadap struktur tanah bagi menentukan kesesuaian lokasi jambatan Bailey bagi menggantikan sementara Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air telah selesai dan amat memuaskan. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata setakat ini melalui laporan yang diterima, tiada berlaku pergerakan tanah pada tapak untuk dibina jambatan Bailey itu. 

"Keutamaan kita berikan kepada jalan negeri kerana ini laluan utama dan jambatan Bailey yang hendak dibina itu. 

"Kita mahu pastikan jambatan sepanjang 77 meter (m) itu mampu menampung beban bagi pengguna kenderaan kelak sebab sekarang orang ramai perlu pusing sejauh 30 kilometer(km), jadi kita nak siapkan jambatan Bailey terlebih dahulu agar urusan harian pengguna dapat dipermudahkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Jelajah Sejahtera Desaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya hari ini.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebuah jambatan Bailey akan dibina buat sementara dan dijangka siap dalam masa lima hari hingga seminggu. 

Jumaat lepas dalam kejadian kira-kira 7 malam, konkrit Jambatan Lama Sungai Slim yang menjadi saksi pertempuran antara tentera Jepun dan British pada 1942 itu runtuh selepas dirempuh aliran kepala air yang membawa serpihan kayu-kayan selepas hujan lebat berterusan beberapa jam. 

Kejadian itu turut menyebabkan Muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah, manakala ratusan mangsa terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), di samping 21 orang terperangkap di Taman Eko RISDA sebelum berjaya diselamatkan bomba.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan