AM

Kedudukan Malaysia Dalam Banteras Pemerdagangan Manusia Bertambah Baik - Fadillah

25/08/2024 03:38 PM

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat bertambah baik, apabila negara diletakkan dalam Tahap Dua atau Tier 2 Watch List laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini terhasil, daripada usaha berterusan pelbagai pihak dan agensi penguat kuasa yang diterajui Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipenyeludupan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

“Antara penyampaian yang signifikan ialah peningkatan bilangan kes penyiasatan dan pendakwaan terhadap pemerdagangan orang, penganjuran program kesedaran dan peningkatan kerjasama antara jabatan dan agensi dalam mencegah serta membanteras buruh paksa,” katanya berucap pada Majlis Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata berdasarkan rekod yang diperolehi, tahun ini jumlah kes buruh paksa atau pemerdagangan orang di Malaysia setakat Januari hingga Julai, sebanyak dua kes yang dilaporkan berlaku di semenanjung.

Bagi tahun 2023, Fadillah berkata sebanyak 12 kes telah direkodkan yang melibatkan 11 kes di Semenanjung Malaysia dan satu kes di Sarawak, manakala pada 2022 sebanyak 16 kes dengan 15 kes di Semenanjung Malaysia dan satu kes di Sabah.

“Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditahan sebagai hamba abdi dan segala bentuk kerja paksa adalah dilarang.

“Pekerja-pekerja migran yang berdokumen atau tidak berdokumen berhak untuk mendapat hak perlembagaan di Malaysia. Oleh itu, menjadi kewajiban pegawai penguat kuasa untuk melindungi setiap mangsa buruh paksa di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan