AM

Insiden Tanah Jerlus Perlukan Siasatan Peringkat Tinggi, Langkah Pencegahan - Lee

25/08/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Alliance for A Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye berkata insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini baru-baru ini memerlukan siasatan menyeluruh bagi menentukan puncanya dan pelaksanaan langkah berkesan untuk mencegah perkara itu daripada berulang.

Beliau berkata tindakan segera perlu diambil dan satu jawatankuasa peringkat tinggi dibentuk bagi menyiasat insiden itu.

Lee berkata jawatankuasa itu mestilah dipengerusikan oleh sekurang-kurangnya Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan terdiri daripada, antara lain, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, jurutera-jurutera kanan, ahli geologi serta para pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

"Tragedi ini hendaklah disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca berlakunya tanah jerlus seterusnya apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan ia tidak berulang.

"Jawatankuasa ini hendaklah menyelesaikan tugasnya dalam tempoh yang singkat untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan memastikan keselamatan berjuta-juta orang yang berjalan setiap hari untuk bekerja, beriadah atau ke sekolah," menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau turut menggesa pihak berkuasa memantau perubahan permukaan tanah secara berkala bagi mengenal pasti tanda-tanda potensi berlaku tanah jerlus dan berkata insiden baru-baru ini bukanlah yang pertama berlaku di ibu kota. 

"Mereka juga hendaklah sentiasa memantau media sosial dan tradisional untuk mendengar aduan orang ramai berhubung insiden keretakan di jalan raya selain kaki lima serta mengambil tindakan segera.

"Tanah jerlus boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja di lokasi yang ada lekukan atau lubang yang terjadi secara semula jadi atau disebabkan oleh perbuatan manusia. Cabarannya ialah mengenal pasti tempat yang berpotensi dan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Pada Jumaat, seorang pelancong wanita dari India yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dalam insiden tanah jerlus semasa berjalan di hadapan Malayan Mansion pada 8.22 pagi.

Lee berkata tragedi di Jalan Masjid India bukan sahaja menimbulkan ancaman besar terhadap keselamatan awam tetapi juga memberi kesan mendalam kepada komuniti perniagaan di kawasan itu.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan