AM

JOM Kids Band Terima Pengiktirafan Asia Book Of Records

26/08/2024 06:55 AM

TASEK GELUGOR, 25 Ogos (Bernama) -- Jays Odyssey Music (JOM) Kids Band hari ini melakar sejarah apabila mencatat nama dalam ‘Asia Book Of Records’ (ABR) sebagai  ‘Pasukan Termuda yang Menubuhkan Kumpulan Muzik’. 

Kumpulan tersebut yang terdiri daripada 13 kanak-kanak dan remaja berusia 11 hingga 17 tahun itu bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian tetapi turut mahir bermain pelbagai peralatan muzik.

Pemilik pusat latihan muzik JOM, Viijayanathan Dhaharasen berkata pengiktirafan itu merupakan satu kejayaan luar biasa buat bakat muda tersebut yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dalam industri seni.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian mereka. Apa yang dikecapi merupakan hasil kesungguhan, latihan serta kecintaan tidak berbelah bahagi mereka terhadap seni muzik.

“Saya akan terus melatih dan membimbing mereka di samping mencari lebih ramai bakat muda untuk digilip bagi mewarnai arena muzik tanah air,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil pengiktirafan tersebut pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan anjuran Persatuan Kebajikan Jurugaya Rambut India Zon Utara di Taman Haji Ahmad Jamil di sini.

Sijil pengiktirafan diserahkan wakil ABR Grace Kuppa kepada Viijayanathan sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Jurugaya Rambut India Zon Utara S. Buvaneswaran.

Pada majlis itu, kumpulan tersebut turut membuat penampilan pertama mereka di pentas dengan mempersembahkan beberapa lagu dalam bahasa Tamil selama 45 minit.

Viijayanathan atau lebih dikenali sebagai Jay dalam arena perfileman Tamil tempatan berkata kumpulan tersebut baru ditubuhkan tahun lepas dan terdiri daripada pelajar yang dipilih berdasarkan pencapaian masing-masing.

“Idea menubuhkan pusat latihan JOM pula tercetus pada 2020 ketika pandemik COVID-19 dengan pelajarnya dari seluruh Malaysia kerana kita ajar mereka secara dalam talian.

“Dari situ kita pilih yang terbaik untuk membentuk sebuah kugiran dan panggil mereka ke studio untuk diberi latihan secara lebih intensif secara percuma hingga terbentuknya JOM Kids Band ini,” katanya yang juga seorang pengarah muzik.

Komposer muzik bagi lagu popular ‘Uyirai Tholaithen’ itu berkata sehingga kini beliau telah melatih lebih 600 anak muda dari Malaysia dan luar negara seperti India serta Sri Lanka.

Sementara itu, Buvaneswaran berkata program yang masuk tahun ketiga itu dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang dihadiri masyarakat setempat terdiri daripada berbilang kaum dan latar belakang.

Beliau berkata pelbagai acara diadakan termasuk pertandingan mewarna, pertandingan nyanyian dan pembukaan reruai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

“Kita turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang yang mengadakan Jualan Rahmah dengan tawaran barangan keperluan asas pada harga diskaun antara 10 hingga 30 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan