JENAYAH & MAHKAMAH

Tanah Jerlus: Pemeriksaan Di IWK Pantai Dalam Diteruskan

26/08/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, hari ini meneruskan pencarian di loji kumbahan di Pantai Dalam, walaupun sebelum ini tidak membuahkan hasil.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan berterusan itu, dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Pihak Indah Water Konsortium akan membuat pemecahan debris (sekatan) menggunakan jetter (mesin jet pembentung) di laluan lurang lokasi insiden ke lurang hilir dengan jarak 69 meter,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, IWK telah melaksanakan kerja-kerja flushing di lurang lima lewat malam tadi sehingga 2 pagi tadi, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

Kenyataan itu turut memaklumkan DBKL komited meneruskan pencarian wanita warga India yang kini memasuki hari keempat.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan bagi memastikan kelancaran kerja pencarian yang dilakukan pasukan SAR, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama dengan tidak berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

Insiden pada pagi Jumaat lepas menyaksikan seorang pelancong wanita yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan