DUNIA

Indonesia Tuan Rumah Forum Indonesia-Afrika Kali Kedua Di Bali

26/08/2024 02:59 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Ogos (Bernama) -- Indonesia akan menjadi tuan rumah Forum Indonesia-Afrika Kali Kedua di Bali selama tiga hari bermula 1 Sept 2024, bagi memperkukuh hubungan antara Indonesia dan Afrika serta mempromosikan kemakmuran bersama.

Acara yang bertemakan "Bandung Spirit for Africa’s Agenda 2063" itu mencerminkan komitmen Presiden Joko Widodo terhadap Afrika, seperti yang diketengahkan semasa lawatannya ke Tanzania pada 2023.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, forum ini menekankan dedikasi Indonesia dalam memuktamadkan pelan pembangunan lima tahun Afrika dan meningkatkan kerjasama dengan benua terbabit.

Sepanjang dekad yang lalu, Indonesia melancarkan program 60 Triangular South-South Cooperation di seluruh Afrika memfokuskan kepada keselamatan makanan, tenaga dan kesihatan.

Langkah ini menyerlahkan peranan Indonesia sebagai penyumbang penting di peringkat global, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Program-program ini juga meliputi pelbagai sektor lain termasuk perikanan, tadbir urus yang baik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan infrastruktur, pengurusan risiko bencana, pemerkasaan wanita, perdagangan dan pelaburan.

"Indonesia semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rakan pembangunan yang boleh dipercayai bagi negara-negara membangun, penyedia Selatan yang boleh diharapkan," kata Ketua Pengarah Maklumat dan Diplomasi Awam kementerian itu, Siti Nugraha Mauludiah.

Beliau menegaskan bahawa penubuhan Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa, juga dikenali sebagai Indonesia AID pada 2019 merupakan langkah penting dalam menguruskan bantuan pembangunan secara berkesan.

Sejak itu, Indonesia bekerjasama dengan 23 daripada 54 negara di Afrika, yang meliputi 42 peratus daripada benua itu.

Dalam bidang keselamatan makanan, Indonesia menyokong usaha bantuan kemarau di Kenya, Ethiopia dan Madagascar serta memulihkan pusat latihan pertanian di Gambia dan Tanzania.

Dalam bidang kesihatan, Indonesia menyumbangkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kepada Mozambique dan Zimbabwe serta menyediakan 1.58 juta dos vaksin Pentavalent kepada Nigeria pada 2023.

Latihan peningkatan kapasiti tenaga solar juga ditawarkan kepada Namibia, Mozambique, Sudan, Senegal dan Tanzania, kata Siti Nugraha.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan