DUNIA

Kerjasama Rapat Global Pacu Industri Robotik - PM China

26/08/2024 03:04 PM

BEIJING, 26 Ogos (Bernama-CMG) -- Perdana Menteri China Li Qiang menekankan keperluan memupuk persekitaran terbuka untuk inovasi teknologi di samping menyokong firma asing dan institusi penyelidikan melabur di China.

Li pada masa sama menegaskan kepentingan mewujudkan dan mengoptimumkan platform kerjasama dan pertukaran berhubung sektor robot, mengekalkan kestabilan rantaian industri dan bekalan, serta mempercepat inovasi teknologi robotik di peringkat global.

Perdana Menteri turut menggesa supaya usaha diperkukuh untuk meningkatkan inovasi teknologi dan pembangunan perindustrian ke arah memupuk enjin pertumbuhan baharu dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

Beliau membuat kenyataan itu ketika bercakap tentang usaha memajukan industri robotik menerusi kolaborasi antarabangsa yang lebih rapat semasa tinjauan ke Ekspo Robot Dunia 2024 di sini pada Ahad.

Bertema 'Co-fostering New Quality Productive Forces for a Shared Intelligent Future', ekspo berkenaan merupakan sebahagian daripada atur cara Persidangan Robot Dunia (WRC) 2024 selama lima hari yang dibuka pada 21 Ogos.

Menyentuh tentang kelebihan China dalam industri robotik, Li menyatakan saiz pasaran domestik yang besar dan potensinya yang cerah serta senario pengaplikasian yang pelbagai harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurut Li, usaha mengaplikasikan inovasi teknologi berkaitan robot dalam sektor seperti pembuatan, pertanian dan perkhidmatan harus dipercepatkan.

-- BERNAMA-CMG 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan