AM

Fahmi Menghadap Agong Esok Bagi Sembah Maklum Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2024

26/08/2024 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim esok untuk menyembah maklum mengenai persiapan sambutan sempena Hari Kebangsaan 2024 Sabtu ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dijadual menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

Beliau berkata pelbagai aspek sambutan akan disembah maklum, termasuk berkaitan laluan yang boleh digunakan orang ramai, serta pengangkutan awam yang disediakan, seperti water taxi percuma yang akan beroperasi dari beberapa lokasi di sekitar Tasik Putrajaya.

“Ini bagi membolehkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka (di lokasi ditetapkan). Di satu lokasi itu, saya difahamkan ada 7,000 petak letak kereta disediakan. Jadi kita harap orang ramai boleh rancang perjalanan untuk ke tapak sambutan Hari Kebangsaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, di sini hari ini.

Fahmi seterusnya menasihatkan orang ramai supaya mengalihkan atau meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang bersesuaian sekiranya ternampak bendera Malaysia itu di tempat yang tidak sepatutnya seperti di lantai atau di jalanan.

“Sebagai rakyat Malaysia, apabila kita melihat perkara itu berlaku (Jalur Gemilang di tempat tidak sepatutnya), sekiranya boleh dan keadaan selamat, kita wajar untuk menaikkan semula atau kita alihkan (Jalur Gemilang).

“… kita bukan hanya perlu berbangga bahawa kita sebagai rakyat Malaysia punyai satu simbol negara seperti Jalur Gemilang, tetapi kita juga wajar melakukan tindakan kecil untuk menjaga kehormatan Jalur Gemilang kita,” katanya.

Mengenai Program Pentarama dan Kelab Malaysiaku, Fahmi berkata ia adalah program di bawah Jabatan Penerangan (JaPen) yang dianjurkan bagi menyemarakkan lagi rasa cinta dan sayangkan negara dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata program itu juga dijangka akan diteruskan ke sekolah lain untuk memberi pengisian yang bermanfaat buat pelajar sempena Bulan Kebangsaan tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan