AM

Lumpuh Tidak Halang Muhammad Hafizuddin Teruskan Kehidupan

26/08/2024 11:08 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Muhammad Hafizuddin Mohd Yamin yang lumpuh bahagian pinggang ke bawah akibat kemalangan motosikal tahun lepas tidak berputus-asa dalam meneruskan kehidupan meskipun tidak tahu sama ada boleh mengejar kerjaya dalam bidang automotif.

Muhammad Hafizuddin, 22, hari ini menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dan Anugerah Khas Industri yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bersempena Istiadat Konvokesyen Ke-52 Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini.

Beliau yang masih berkerusi roda berkata setakat ini dia tiada perancangan khusus untuk masa depannya selain daripada menguruskan dirinya terlebih dahulu.

“Saya masih menjalani rehabilitasi, jadi PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dah ada telefon dan menerangkan segalanya, jadi mereka akan beri masa untuk saya uruskan diri dulu, baru untuk cari kerjaya bersesuaian.

“Hasrat sebelum Ini memang nak masuk kerjaya bidang automotif, tetapi dah jadi begini, saya masih belum tahu bidang apa yang sesuai dalam keadaan macam ini,” kata anak kedua dari tiga beradik itu kepada pemberita.

Lebih manis untuk Muhammad Hafizuddin, Saarani sendiri turun daripada pentas utama untuk menyampaikan diploma dan anugerah itu kepadanya yang berkerusi roda.

Muhammad Hafizudin juga merupakan penerima Anugerah Ketua Jabatan (AKJ) sebanyak empat kali berturut-turut dari semester satu hingga empat.

Muhammad Hafizuddin menyatakan kemalangan motosikal itu berlaku pada 6 Okt tahun lepas setelah dia menamatkan pengajian.

Kemalangan itu menyebabkan tulang belakangnya patah dan memberi kesan kepada saraf tunjang sehinggakan beliau kini tidak boleh berjalan, lumpuh dari pinggang ke bawah dan berkerusi roda.

Sementara itu, Zawiyah Demanis, 60, naik ke pentas pada istiadat konvokesyen itu bagi mewakili anak lelakinya Allahyarham Ahmad Hirfan Shahrir untuk menerima Diploma Anumerta.

Allahyarham Ahmad Hirfan merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang telah meninggal dunia pada 4 April lepas akibat penyakit kanser sarcoma sinovial (ketumbuhan di dalam paru-paru).

Zawiyah ketika ditemui pemberita berkata Allahyarham Ahmad Hirfan berhasrat untuk menyambung pengajian di Perancis atau Jepun bagi mendalami bidang automotif.

“Dia memang sangat minat bidang automotif, itulah cita-cita dia, kalau kami nak rujuk apa-apa tentang kereta, memang kami akan rujuk kepadanya,” kata Zawiyah.

Pada majlis hari ini, Saarani menyempurnakan Istiadat Konvokesyen PUO Ke-52 bagi sidang pertama membabitkan seramai 495 graduan dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Istiadat konvokesyen itu berlangsung mulai hari ini hingga Khamis yang meraikan seramai 1,748 graduan meliputi peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sijil kemahiran khas membabitkan 20 bidang pengajian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan