AM

Teo Adakan Mesyuarat Bersama Persatuan Artis-artis Tamil Malaysia

27/08/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching  hari ini mempengerusikan mesyuarat bersama Persatuan Artis-artis Tamil Malaysia yang antara lain mengumumkan lima berita baik kepada penggiat industri kreatif. 

Teo berkata Dana Kandungan Kreatif (DKK) 2024 memperuntukkan sebanyak RM13 juta di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk lima kategori iaitu Dana Pembangunan Skrip, Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), Dana Program TV, Dana Dokumentari Kenegaraan dan Dana Co-Pro.

Beliau berkata perkara lain yang turut diumumkan, Radio MINNALfm (RTM) akan memperluas rakaman program Thaalam di enam negeri terpilih bagi memberi peluang kepada artis yang berada di negeri berkenaan. 

“Penambahan masa siaran lagu tempatan dalam siaran radio MINNALfm. Lagu tempatan yang disiar setiap minggu ketika ini iaitu 450 minit (tujuh jam 30 minit) akan ditingkatkan ke 1005 minit (16 jam 45 minit) bermula 1 Nov 2024,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, Teo turut mengumumkan perancangan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk mengadakan dua lagi kursus serta satu bengkel kepada para pengamal media dan artis Tamil tempatan pada tahun depan selain pelaksanaan program "ACE Workshop" oleh MyCreative Ventures di enam lokasi mulai September.

“Seruan saya, ambil peluang ini untuk membuat permohonan bagi setiap inisiatif yang diperkenalkan oleh kementerian kepada penggiat industri kreatif,” katanya.

Untuk DKK dan ACE Workshop permohonan terbuka kepada semua penggiat seni.

Beliau berkata mesyuarat itu kesinambungan daripada soalan dikemukakan Ahli Dewan Negara dan Naib Presiden MIC Senator Datuk Dr R. Nelson pada 4 April lepas di Dewan Negara.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Ahli Parlimen Batu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) M. Prabakaran,  Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Kerajaan Negeri Selangor V. Papparaidu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong M. hulsi, ADUN Kota Kemuning S. Preakas serta agensi di bawah kementerian seperti FINAS, RTM, PUSPAL, IPPTAR, MyCreative Ventures dan wakil MITRA serta ASTRO.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan