JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Pengarah Agensi Penguat Kuasa Disyaki Lindungi Sindiket Seludup Minyak Diesel Subsidi

27/08/2024 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos ( Bernama) --  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching, Sarawak kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan petang tadi bagi dirakam keterangannya di Pejabat SPRM Sarawak dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM berserta seorang penjamin. 

"Lelaki itu dipercayai telah menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu. 

"Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lepas," menurut sumber.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, sumber SPRM memaklumkan seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan ditahan di Kuching berhubung kes sama dan lelaki berusia 40-an itu direman enam hari hingga 2 Sept ini.

Individu itu ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada 3.25 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan