POLITIK

PRK DUN Mahkota: Seluruh Jentera Kerajaan Perpaduan Digerakan Sepenuhnya - Asyraf Wajdi

28/08/2024 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Seluruh jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan digerakkan sepenuhnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor bagi memenangi hati serta sokongan pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu, ditetapkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia, hari ini.

“Mesyuarat menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) di PRK DUN Mahkota, mewakili Kerajaan Perpaduan yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata mesyuarat itu turut memperakui struktur jentera Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRK DUN Mahkota, dengan pelantikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengarah PRK dan Aminolhuda Hassan sebagai Penyelaras Jentera Pakatan Harapan (PH).

“Mesyuarat turut memandang serius isu 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat turut menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook berkata beliau turut menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata mesyuarat itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta semua pimpinan parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Pelbagai isu berkaitan dengan kepentingan negara dan kebajikan rakyat telah dibincangkan dan Perdana Menteri telah pun menyampaikan pelbagai input penting kepada hadirin agar agenda pembangunan negara diteruskan dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan