AM

Tinggalan Sejarah Di Jambatan Lama Sg Slim Dipindah Sebelum Hujung Tahun Ini - MHG

28/08/2024 05:34 PM

TANJONG MALIM, 28 Ogos (Bernama) -- Proses pemindahan bahan tinggalan sejarah berkaitan pertempuran tentera British dan Jepun dikenali sebagai 'Battle of Slim' pada Perang Dunia ke-2 di Jambatan Lama Sungai Slim di sini akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) Shaharom Ahmad berkata sebahagian daripada binaan termasuk kesan tembakan peluru yang terdapat di jambatan itu akan diletakkan di Muzium Pendidikan Nasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala bakinya ditempatkan berhampiran lokasi asal.

“Buat masa ini kita lakukan proses menanda kesan binaan sejarah ini terlebih dahulu bagi memudahkan kerja pemindahan dilakukan. Proses pemindahan pula memerlukan sedikit masa kerana memberi keutamaan pada pembinaan jambatan untuk laluan penduduk.

“Untuk makluman, sebahagian artifek bersejarah itu akan diserahkan kepada pihak UPSI manakala sebahagian lagi kita letakkan kira-kira 500 meter dari lokasi asal bagi tatapan umum,” katanya ketika ditemui sewaktu proses menanda tinggalan sejarah tersebut di tapak Jambatan Lama Sungai Slim di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Muzium Pendidikan Nasional UPSI Profesor Dr Tajul Shuhaizam Said berkata kesan sejarah yang terdapat pada jambatan sepanjang 77 meter dan 7.5 meter lebar itu perlu dipindahkan dan dipamerkan untuk tatapan generasi akan datang.

Terdahulu, jambatan tersebut yang menghubungkan Pekan Slim Village dengan Bandar Slim River dan Bandar Behrang runtuh akibat kejadian kepala air pada 23 Ogos lepas.

Sementara itu, Shahrom berkata terdapat sekurang-kurangnya 10 kesan tembakan peluru termasuk pada tiang konkrit binaan jambatan tersebut merupakan antara artifak penting yang perlu terus dipulihara untuk kepentingan umum.

“Kita akan cuba kekalkan bahan-bahan ini walaupun jambatan sedia ada telah musnah. Penting untuk kita mengekalkan khazanah ini kerana ia mengingatkan kita tentang peristiwa penting yang pernah berlaku di sini membabitkan pertempuran antara kuasa-kuasa penjajah,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI Profesor Madya Dr Nazirah Lee berkata cadangan untuk memindahkan sebahagian daripada tinggalan sejarah yang terdapat pada jambatan berkenaan ke Muzium Muzium Pendidikan Nasional UPSI merupakan kaedah terbaik dalam mengekalkan khazanah sejarah negara.

Beliau berkata selain sebagai tatapan umum, artifak berkenaan boleh dijadikan bahan kajian kepada pelajar atau penyelidik dalam dan luar negara berkaitan sejarah yang berlaku khususnya di lokasi tersebut.

“Selain dipamerkan kepada umum, saya fikir bahan sejarah ini boleh dijadikan sebagai bahan bantuan mengajar atau bukti yang jelas tentang apa yang telah terjadi. 

“Ini amat membantu dalam memberi kefahaman dan pengetahuan yang jelas pada mana-mana mahasiswa khususnya mereka yang melakukan kajian khusus berkaitan penjajahan atau pertempuran membabitkan kuasa seperti Inggeris dan Jepun satu ketika dahulu,” katanya.

Nazirah berharap kerja-kerja pemindahan itu nanti akan dilakukan dengan cermat serta tidak menjejaskan bahan-bahan sejarah yang terdapat pada jambatan terbabit.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan