AM

'Perang Bendera' Meriahkan Sambutan Kemerdekaan Penduduk Senawang

29/08/2024 11:41 AM

SEREMBAN, 29 Ogos (Bernama) -- Kehangatan sambutan Bulan Kebangsaan kian terasa dengan "perang bendera" dalam kalangan penduduk di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Matahari Indah, Taman Mayang Sari dan Taman Senawang Indah 2 di sini.

Selain mengibarkan Jalur Gemilang, masing-masing kelihatan kreatif  mengunakan barangan terpakai untuk menghasilkan hiasan kemerdekaan seperti menara berkembar Petronas mengunakan botol, kereta kebal daripada kotak, hiasan bunga tayar, robot, hiasan mural dan pelbagai lagi.

Penduduk di sini sanggup berbelanja membeli Jalur Gemilang serta barang keperluan yang lain semata-mata untuk menghias kediaman mereka sempena Pertandingan Rumah dan Lorong Tercantik.

Pengerusi KRT Taman Matahari Indah Mohd Faizul Kamarozaman, 45, berkata idea berkenaan tercetus selepas Ahli Jawatankuasanya (AJK) berbincang untuk mengadakan program kejiranan bagi bulan ini iaitu bersesuaian dengan sambutan kemerdekaan. 

"Inisiatif penduduk untuk memeriahkan kemerdekaan pada kali ini harus dipuji kerana kesemua mereka sepakat menyiapkan hiasan dengan mengunakan Jalur Gemilang.

"Mereka sanggup keluar duit sendiri untuk mencantikkan rumah dan lorong taman mereka secara sukarela atas semangat patriotisme," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata selain mengibarkan Jalur Gemilang, rata-rata penduduk mengambil inisiatif untuk mengubah hiasan sendiri mengikut kreativiti masing-masing.

Kebanyakan mereka menggunakan barangan terpakai seperti botol, kertas, tayar dan kotak bagi menghasilkan hiasan bertemakan kemerdekaan.

Sementara itu, suri rumah Zawiyah Abu Hasan,45, berkata dia mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menyiapkan perhiasan kemerdekaan ini. 

Dia bersama penduduk di lorong rumahnya bergotong-royong menyiapkan hiasan dan menyusun botol kosong untuk dijadikan menara berkembar Petronas.

"Selain itu, bagi membangkitkan lagi semangat patriotisme, saya melukis sendiri gambar Tuanku Abdul Rahman, tugu negara dan Jalur Gemilang di sekeliling tembok di kejiranan kami di sini.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, masing-masing seronok dapat bersama-sama menyiapkan hiasan kemerdekaan ini, menang atau kalah itu tidak menjadi masalah yang penting semangat kejiranan dan bersatu padu antara satu sama lain dapat dicapai," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan