AM

Cuci Rasuah: Persembahan Unik Dedikasi Buat Perjuangan PM Anwar

29/08/2024 12:20 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Buat julung kalinya, peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah digunakan sebagai instrumen persembahan tarian bertajuk "Cuci Rasuah" pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya Sabtu ini, yang didedikasikan khas kepada perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi amalan kotor itu.

Berkongsi kepada Bernama pada raptai penuh di sini hari ini, Pengarah Artistik dan Konsep bagi sambutan Hari Kebangsaan Rosnan Nordin berkata tarian yang mengisi segmen ketiga itu mengambil konsep stompers iaitu persembahan muzik yang dialunkan menggunakan alat terpakai seperti tong sampah, baldi dan tin.

Beliau berkata persembahan yang dijayakan 515 warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu diiringi medley beberapa lagu patriotik yang disingkatkan menjadi muzik berentak rancak dan diikuti lagu baharu bertajuk "Cuci Rasuah" hasil tulisan beliau bersama komposer Anuar Abdul Razak.

“Persembahan ini kejutan untuk Perdana Menteri berserta lagu yang saya hasilkan sendiri yang tidak pernah dimainkan di corong radio.

“Saya ingin sampaikan tentang perjuangan Anwar dalam membanteras rasuah. Jadi, melalui gerak tarian, kita nak serap ke dalam jiwa anak muda supaya benci rasuah," katanya yang memikul tanggungjawab sebagai "orang kuat" persembahan Hari Kebangsaan sejak 2008.

Rosnan, 59, berkata penggunaan penyapu dan tong sampah dalam tarian berdurasi kira-kira lima minit itu juga membawa maksud tersendiri bagi menggambarkan rasuah iaitu jenayah yang dipandang keji dan kotor oleh masyarakat serta boleh merosakkan negara. 

"Penyapu umpama medium mencuci rasuah sampai bersih yang membawa maksud rasuah perlu dibanteras habis-habisan dan tong sampah pula dikaitkan dengan tempat membuang benda kotor iaitu rasuah yang begitu jijik," katanya.

Beliau berkata momentum setiap peserta persembahan juga kekal terbaik bagi memastikan mesej membanteras kegiatan rasuah sampai ke dalam jiwa bukan sahaja setiap penonton, tetapi juga Perdana Menteri.

Mengenai warna pakaian yang dipilih, Rosnan berkata penari akan mengenakan pakaian berwarna jingga sebagai simbolik menggambarkan individu yang ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat rasuah akan memakai baju lokap berwarna oren.

“Ia bukan sekadar persembahan suka-suka untuk penuhkan masa, tetapi ada impak yang kita mahukan. Segala-galanya dirancang rapi agar tepat dengan apa yang kita nak sampaikan kepada masyarakat,” kata Rosnan yang juga  Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau terpanggil untuk menghasilkan karya berkenaan sebagai menyokong usaha murni Anwar yang mahu membanteras rasuah habis-habisan pada pelbagai peringkat khususnya dalam perkhidmatan awam. 

“Saya selalu baca kenyataan Anwar, beliau sering cakap pasal banteras rasuah kalau boleh daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya kes. Saya tertarik dengan kenyataan ini. 

“Maka saya terfikir, apa sumbangan saya. Idea ini tercetus ketika saya sedang memandu. Kemudian, saya kongsi dengan pasukan produksi,” katanya dan menambah persembahan itu diibaratkan sebagai buah tangan terakhir yang meninggalkan kenangan dalam karier beliau sebelum bersara tahun depan.

Persembahan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 bermula 7 pagi itu bakal dijayakan sebanyak 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan