AM

Jenazah Allahyarham LK I PLM Arman San Diterbangkan Ke Tawau

29/08/2024 02:34 PM

JOHOR BAHRU, 29 Ogos (Bernama) -- Suasana hiba menyelubungi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini ketika proses tuntutan jenazah oleh keluarga Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di Tanjung Penyusop semalam.

Dianggarkan 100 orang terdiri ahli keluarga Allahyarham termasuk isteri, Norazliana Bakri, 25, rakan serta pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba di jabatan itu sejak 8 pagi tadi.

Van jenazah TLDM membawa jenazah Allahyarham dilihat keluar dari pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI pada 12.45 tengah hari selepas proses bedah siasat selesai.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diusung keluar oleh pasukan pengusung TLDM sebaik keranda dibawa keluar dari bilik Jabatan Perubatan Forensik itu.

Difahamkan jenazah Allahyarjam akan diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini ke Lapangan Terbang Tawau untuk dikebumikan di Lahad Datu.

TLDM dalam kenyataan semalam memaklumkan jenazah Allahyarham Arman San, 28, yang berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau pasukan itu dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) di bawa ke HSI untuk proses bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.

KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipecayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lepas.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu ditenggelami air sepenuhnya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan