AM

Tanah Jerlus: JPBM Berusaha Rungkai Backlog Sepanjang 15 Meter

29/08/2024 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, berjaya mengesan satu ‘backlog’ atau timbunan sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad berkata ia berjaya dikesan hasil dua ujian pelepasan tong air yang dijalankan pada hari pertama dan kedua di lokasi kejadian serta Wisma Yakin.

“Berdasarkan pemerhatian di setiap lurang dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati tong yang kita lepaskan dari ‘ground zero’ itu tidak keluar.

"Berikutan itu, pada 12 malam tadi kita telah mengambil dua pendekatan iaitu menutup sebahagian saluran air dan kedua, melencongkan sebahagian daripada aliran masuk untuk mengurangkan paras air dalam salur kumbahan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.

Nor Hisham berkata pasukan SAR kemudian menggunakan pam berkapasiti tinggi iaitu 10,000 dan 20,000 liter untuk mengepam keluar air dan hasilnya, pada 4 pagi tadi paras air di dalam paip kumbahan bersaiz 1.5 meter telah dapat dikurangkan kepada 0.8 meter sebelum kamera dimasukkan.

Beliau berkata pasukan SAR telah mula menjalankan operasi untuk merungkai sekatan yang menghalang aliran air dalam paip pembetungan itu sejak 5 petang tadi dengan menariknya sedikit demi sedikit.

"Jika backlog ini berjaya dirungkai, saya percaya keseluruhan permukaan dalam paip kumbahan itu akan dapat dilihat sebelum pasukan penyelam dari Akademi JBPM Wilayah Utara boleh melakukan tugasan mereka untuk mencari mangsa yang dipercayai terperangkap," katanya.

Nor Hisham berkata bagaimanapun, risiko paling besar menanti pasukan penyelam ialah dihanyutkan oleh arus deras jika backlog itu, yang biasanya terdiri daripada botol minyak masak, tayar, ketulan minyak beku serta gumpalan rambut, berjaya dirungkai.

“Had air selepas Wisma Yakin sangat laju… kerisauan paling besar atau risiko paling besar ialah backlog tersebut. Berdasarkan andaian kami, jika backlog itu terungkai, ia menyebabkan tekanan hingga 100 meter kubik sekali gus boleh memberi ancaman kepada penyelam terlibat.

“Sehubungan itu, pada malam ini kita akan mengulangi semula langkah malam tadi dan selepas dapat mengurangkan paras air, kami akan menggunakan pancutan berkuasa tinggi daripada IWK. Jika keadaan selamat, barulah penyelam akan turun sebelum langkah seterusnya diambil,” kata beliau.

Nor Hisham juga berkata setiap penyelam dilengkapi set skuba untuk mengelakkan risiko termasuk gas beracun.

Sulizmie pula berkata usaha mencari mangsa tetap diteruskan dan perkara itu telah dipersetujui hasil pertemuan antara pasukan SAR dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa petang tadi.

“Pasukan penyelamat telah dipanggil oleh Menteri Wilayah untuk kami sama-sama berbincang hala tuju pencarian mangsa.

"Agensi yang terlibat telah memberi taklimat mengenai segala tindakan yang telah diambil untuk mengesan mangsa dan beliau bersetuju pencarian diteruskan,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, orang ramai dinasihat agar tidak berkunjung ke lokasi kejadian untuk mengelakkan sebarang risiko dan kejadian yang tidak diingini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan