AM

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Terus Terjemah Aspirasi Malaysia MADANI

30/08/2024 12:34 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan akan terus menjadi platform menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI terutamanya dalam memperkukuh perpaduan berbilang kaum di negara ini, selain menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, acara sambutan Hari Kebangsaan 2024 bakal mengetengahkan konsep kebersamaan rakyat yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat selari dengan maksud tema tahun ini, iaitu perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati diri.

Acara gilang-gemilang yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, di sini, menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.

Antara kelainan yang dibawa kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara, yang merupakan kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Disertai 800 peserta, keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan (prop) dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI merupakan antara tujuh komponen perarakan tahun ini yang terdiri daripada Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Kontinjen GLC dan GLIC, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran serta Kontinjen Sukan Negara.

Turut menarik perhatian, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang melibatkan 67 kenderaan sempena ke-67 tahun kemerdekaan dengan peserta daripada pelbagai latar belakang, kaum serta profesion termasuk penjawat awam mahupun swasta.

Kontinjen itu merupakan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 yang telah menjelajah sejauh 8,551 kilometer merangkumi 162 hentian di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan dan akan meneruskan misi memupuk semangat patriotik sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Kota Kinabalu, Sabah.

Perbarisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sekali gus menjadi satu kebanggaan kepada warga PDRM atas kesudian pucuk pimpinan tertinggi turun padang bagi bersama-sama menjayakan perarakan tahun ini.

Seperti kebiasaan sambutan Hari Kebangsaan, pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menggamatkan ruang udara Putrajaya dengan deruan enjin jet pejuang seperti Sukhoi SU-30, F/A-18D Hornet dan Hawk MK 208.

Selain itu, bakal dipertontonkan persembahan tempur tanpa senjata daripada 250 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang penuh aksi dan bertenaga yang pastinya memukau para pengunjung.

Selain itu, persembahan tarian bertajuk "Cuci Rasuah" didedikasikan khas kepada perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi amalan itu akan turut dipersembahkan sebelum sambutan Hari Kebangsaan 2024 menutup tirai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan