EKONOMI

Semangat Merdeka Bantu ITRAMAS Corp Bangkit Teraju Teknologi Hijau Malaysia

30/08/2024 11:07 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Usai Krisis Kewangan Asia 1997-1998, ITRAMAS Corp Sdn Bhd, antara syarikat tempatan  yang terkesan akibat daripada impaknya yang begitu besar, bangkit kembali mendepani cabaran, menerima perubahan dan seterusnya menerajui sektor teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Menerusi temu bual dengan Bernama baru-baru ini, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya Lee Choo Boo menyamakan kebangkitan semula syarikat itu seperti benih yang disemai pada tempoh kesukaran ekonomi ketika Malaysia sedang merawat luka kewangannya.

Lee mengimbau kembali ketika detik krisis kewangan itu berlaku dan menyifatkannya sebagai satu cabaran getir dan pengajaran bermakna bagi sesebuah syarikat baharu untuk melaksanakan usaha korporat mereka secara berhemat, seimbang dan berani.  

Beliau merujuk petikan kata daripada bekas pengerusi dan bekas ketua pegawai eksekutif Intel Andy Grove yang menyebut: "Hanya mereka yang paranoid mampu terus bertahan."

Mantra kelangsungan hidup itu yang dipupuk dengan langkah lebih berwaspada dan menerima pembaharuan menjadi tunjang utama yang menyokong ITRAMAS, kata Lee.

"Naluri paranoid memaksa kami untuk mengurangkan risiko, sentiasa memperhalusi pelan taktikal kami dan menerima perubahan sebagai tindak balas kepada perubahan dalam persekitaran luaran," katanya.

Sehingga kini, syarikat yang ditubuhkan pada 1999 itu terus utuh bertahan menghayati semangat kemerdekaan, yang boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi ketika negara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 pada tahun ini.

Ketika nilai ringgit jatuh merudum semasa krisis kewangan tersebut, ITRAMAS menceburi pengeluaran produk berasaskan diod pemancar cahaya (LED) untuk dieksport bagi memanfaatkan kelemahan mata wang dalam usaha membina kehadiran global yang kompetitif.

Pada masa sama, syarikat itu mengasah bakat kemahiran pekerjanya dalam penyepaduan sistem dan pengurusan projek, terutamanya dalam sektor sistem pengangkutan pintar (ITS), yang menjadi asas bagi kejayaannya pada masa depan. 

 

Langkah Berani Teroka Teknologi Hijau

 

Mundar laju ke 2024, ITRAMAS kini menjadi aspirasi bagi inisiatif pembangunan mampan Malaysia.

"Namun, jalan menuju kejayaan masih lagi berliku," akui Lee.

Menurutnya, usaha mempromosikan teknologi hijau pada awal 2000-an merupakan satu tugas yang amat sukar. 

Penerimagunaan awal inisiatif hijau, disokong oleh insentif kerajaan seperti mekanisme Feed-In-Tariff (FiT), pada mulanya agak memberangsangkan tetapi akhirnya tidak dapat bertahan, katanya. 

“Oleh itu, beralih daripada program bersubsidi ini dan mencapai ekonomi bidangan adalah kritikal.

“Bagaimanapun, pada awalnya terdapat banyak keraguan daripada komuniti pembiayaan tempatan mengenai kebolehlaksanaan projek solar berskala besar (LSS) yang berdasarkan hanya kepada inisiatif kewangan swasta semata-mata,” katanya.

Namun, titik perubahan berlaku pada 2016 dengan kejayaan pelaksanaan projek solar 150 megawatt (MW) ITRAMAS, yang berjaya menarik pelaburan antarabangsa dan menjadi penanda aras baharu bagi projek LSS di Malaysia.

“Langkah itu menandakan permulaan Malaysia dalam industri solar utiliti.Tetapi ITRAMAS tidak berhenti setakat itu sahaja.

“Kami menceburi bidang baharu dengan menerbitkan sukuk pelaburan hijau lestari terbesar di dunia, mengumpul RM1 bilion untuk membiayai projek solar ini. Ia telah mencetuskan keterujaan dalam komuniti kewangan,” katanya.

Ini merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan bahawa Malaysia bersedia untuk melangkah ke masa depan yang dikuasakan oleh teknologi hijau.

"Kami aktif mengembara ke Eropah dan China untuk belajar daripada pengalaman mereka," kata Lee sambil menambah bahawa syarikat itu komited untuk belajar dan menerima pembaharuan.

Keazaman tinggi ini telah membuahkan hasil. ITRAMAS kini diiktiraf sebagai pemain utama dalam sektor teknologi hijau rantau ini, mendapat penghargaan seperti anugerah Sukuk Terbaik Islamic Finance News dan dipilih sebagai Penjana Tenaga Bebas Terbaik oleh Asian Power Awards.

Pasca pandemik COVID-19, ITRAMAS melancarkan program SolarSavenya untuk membantu pemilik rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjimatkan bil elektrik dan pada masa sama melaksanakan amalan hijau.

Syarikat itu bekerjasama dengan kerajaan dan menyediakan input bagi pelancaran program solar yang disasarkan kepada sektor korporat besar, katanya.

Peranannya sebagai perintis dalam teknologi hijau malahan menjadi lebih penting apabila Malaysia memulakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIM).

Menghayati semangat Merdeka — yang memupuk daya tahan dan transformasi — ITRAMAS terus berinovasi dan menjadi peneraju dalam era yang dibayangi oleh konflik geopolitik, kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan revolusi teknologi hijau, kata Lee.

 

Menjelmakan Semangat Merdeka

 

Ketika Malaysia meraikan Hari Kebangsaannya, perkembangan perniagaan ITRAMAS juga seiring dengan transformasi negara sejak 1957.

Bermula daripada hanya pengeluar produk LED, syarikat itu kini berkembang menjadi peneraju global dalam sektor teknologi hijau.

Penghargaan antarabangsa dan kaedah pembiayaan inovatifnya mencerminkan keupayaan syarikat dan potensi Malaysia untuk menjadi pemain global dalam sektor tenaga boleh baharu.

“Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, dunia melalui perubahan yang ketara, dan begitu juga dengan syarikat kami. Kami akan berusaha sedaya upaya, dan dengan semangat Merdeka, kami pasti akan berjaya," kata Lee.

Kerjasama ITRAMAS dengan kerajaan Malaysia merupakan langkah penting dalam memajukan sektor teknologi hijau negara.

 

Visi untuk Masa Depan

 

Mengorak langkah kehadapan, beliau berkata ITRAMAS akan kekal komited untuk bergerak seiring dengan pertumbuhan visi Malaysia bagi mencapai masa depan yang lebih lestari.

“Projek utama syarikat di Johor, dengan kerjasama UEM Group Bhd, berpotensi untuk memacu industri solar dan negara secara keseluruhan.

"Kami mahu memastikan projek perdana NETR ini mencapai kejayaan besar, bukan sahaja untuk kami tetapi juga untuk Malaysia. Kita perlu menunjukkan kepada dunia bahawa kita benar-benar terbuka untuk menerima perniagaan. Kami perlu kotakan apa yang dijanjikan," katanya.

Menurutnya, sumbangan syarikat itu kini menjadi semakin penting berbanding sebelum ini berikutan perkembangan pesat teknologi hijau 

Beliau menambah, dengan pemikiran yang cerdas dan keazaman yang tinggi, Malaysia sudah pastinya mampu untuk menerajui pembangunan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan