AM

Peniaga Kedai Makan Saji Menu Ubi Kayu Percuma Sempena Hari Kebangsaan

30/08/2024 12:20 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos (Bernama) --  Menyajikan makanan berasaskan ubi kayu secara percuma bagi mengenang perjuangan masyarakat sebelum merdeka, antara cara seorang pemilik kedai makan di sini menzahirkan kecintaannya kepada negara sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang disambut esok.

Mahathir Md Daud, 46, berkata hidangan puli ubi kayu, ubi kayu parut (ubi tonyoh) dan ubi kayu rebus diberikan secara percuma selama seminggu bermumlam semalam kepada pelanggan Kedai Makan Abeking Dapur Arang miliknya yang terletak di Kampung Wakaf Mempelam di sini.

Beliau berkata menu berasaskan ubi kayu itu dipilih bagi mengenang kesusahan hidup rakyat Tanah Melayu sebelum kemerdekaan yang menjadikan ibu kayu sebagai makanan ruji kerana tidak dapat keluar mencari makanan lain disebabkan darurat.

“Selain mengibarkan Jalur Gemilang di kedai makan seperti yang biasa dibuat, saya memilih menyajikan makanan sebagai cara tersendiri untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara. 

“Makanan juga begitu dekat di hati saya memandangkan saya telah berkecimpung dalam bidang sajian makanan sebagai chef di hotel dan di kapal persiaran bermula 1997 hingga 2007 lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedai makannya.

Jelasnya inisiatif itu juga bertepatan dengan konsep makanan tradisional yang diketengahkan di kedai makannya yang menawarkan pelbagai menu seperti pulut gaul nyor (kelapa), nasi ulam dan ikan panggang.

Mahathir berkata menu berasaskan ubi kayu itu mula dijual di kedai makannya pada harga antara RM5 dan RM6 sepinggan sejak tahun lepas dengan resepinya diolah mengikut cita rasa penduduk di Pantai Timur, dan ia menerima reaksi yang positif daripada pelanggan.

Beliau yang pernah menjadi wartawan sambilan dari 2010 hingga 2015, menggunakan antara 40 kilogram (kg) hingga 50 kg ubi kayu setiap hari untuk disaijikan secara percuma kepada pelanggan sepanjang seminggu ini.

“Kita akan beri makanan ubi kayu secara percuma bermula 8 malam hingga 12 tengah malam. Kedai pula dibuka setiap hari kecuali Isnin. Kuantiti makanan yang diberikan bergantung kepada jumlah pelanggan. 

“Kalau pelanggan datang dalam 12 orang kita akan beri ketiga-tiga menu tersebut tetapi kalau sekitar dua orang kita akan tanya menu ubi kayu yang mana satu mereka inginkan. Semalam, ketika menyajikan ubi kayu kepada pelanggan termasuk golongan muda mereka sangat gembira merasai makanan itu,” katanya.

Dia yang mengusahakan kedai makan itu sejak 2015 bersama isteri Sulizawati Sulong, 40, berhasrat untuk memberi percuma menu klasik berasaskan bahan makanan lain pula pada Hari Kebangsaan tahun hadapan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan