JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buru 'Geng Mat Razak' Yang Dipercayai Curi Kabel TM

30/08/2024 06:14 PM

BAGAN SERAI, 30 Ogos (Bernama) -- Polis sedang giat memburu tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar daerah Kerian di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata ketiga-tiga suspek yang dikenali sebagai 'Geng Mat Razak' dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi kabel sejak awal tahun ini, dengan menyasarkan kabel bawah tanah milik TM.

"Ketiga-tiga suspek itu diburu susulan kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi Selasa lepas semasa sepasukan anggota dari Balai Polis Bagan Serai mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Exora dalam keadaan mencurigakan di Batu 8 di sini, namun pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju kenderaan itu sehingga ke Parit Buntar.

"Setibanya di Sungai Bogak, kenderaan itu menuju ke arah Rumah Pam Kerian dan tersekat di situ akibat jalan mati. Semasa polis menghampiri, empat suspek bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran. Polis berjaya menahan seorang suspek namun tiga lagi meloloskan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 20 tahun itu polis menemukan satu peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu serta beberapa gulung wayar kabel TM dan peralatan di dalam kenderaan tersebut dipercayai digunakan bagi mencuri kabel.

Azizi berkata suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala tiga suspek yang masih bebas turut mempunyai kes lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis meminta bantuan orang ramai supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Kerian di 05-721 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Azizi berkata polis sedang berusaha mengesan seorang suspek utama dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan seorang pekerja kilang warga Nepal dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan pekerja warga asing di sebuah asrama pekerja di Kuala Kurau di sini pada 18 Ogos lepas.

"Usaha mengesan suspek utama masih lagi diteruskan dan pihak polis telah membuat permohonan waran tangkap ke atas suspek utama bagi tujuan Notis Merah Interpol," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian ASP Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fernandes Bayoi di talian 019-867 3515 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan