AM

Arman San Anak Yang Baik - Ibu

30/08/2024 05:26 PM

LAHAD DATU, 30 Ogos (Bernama) -- “Saya berbangga dengan anak saya, saya reda pemergiannya, pergi ketika menjalankan misi, dan ramai yang mendoakannya,” kata ibu kepada Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia semasa Operasi Salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop di Johor baru-baru ini.

Adjirah Sipat, 68, berkata arwah merupakan anak yang baik, dan setiap kali balik bercuti di rumah selalu mengungkapkan kata-kata manis, yang pastinya kata-kata itu akan dirindui beliau dan seluruh anggota keluarganya. 

"Kami sekeluarga cukup sedih, tetapi apakan daya kita sebagai manusia, cepat atau lambat akan merasai mati juga, dia anak yang baik, tidak pernah marah, anak yang sentiasa senyum," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Arman San, 28, yang berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau pasukan dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api ditemui meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar tiga hari lepas.

KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran dalam operasi di perairan Tanjung Penyusop pada 25 Ogos lepas setelah mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air.

Adjirah berkata beberapa hari lepas anak bongsunya daripada 10 beradik itu ada menghubunginya untuk memberitahu dia telah mengirim wang kepada keluarga di sini.

“Tiada kelainan dalam nada suaranyanya, tetapi saya sedikit hairan kerana tiba-tiba dia berkirim salam kepada semua kakaknya. Saya bertanya kepadanya 'kau mimpikah ni, tidak pernah kirim salam sama mereka' tetapi dia jawab 'tidak mak, aku rindu kakak-kakak' itu saja," kata dalam nada sebak.

Selain itu Adjirah turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertanggungjawab dalam menguruskan jenazah anak lelakinya bermula dari Kota Tinggi hingga selesai pengebumian. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan