EKONOMI

Pertumbuhan Pusat Data Di Malaysia Sokong Transisi Kepada Tenaga Boleh Baharu

01/09/2024 12:49 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kedudukan Malaysia sebagai lokasi pusat data paling pesat berkembang di Asia Tenggara tidak hanya mendorong kepada pertumbuhan ekonomi digital, malah menjadi pemangkin dalam transisi negara ke arah penggunaan tenaga boleh baharu (TBB). 

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Jasrul Jamani Jamian berkata dengan kehadiran pemain pusat data di Malaysia, ini secara langsung membantu kerajaan untuk mengoptimumkan kapasiti penjana elektrik yang terdapat di Malaysia. 

Menurutnya pada masa sama aspek itu turut menjadi pendorong dalam merealisasikan usaha kerajaan ke arah penjanaan TBB sehingga 70 peratus atau 56 gigawatt (GW) dalam sektor tenaga menjelang 2050. 

Bagi tempoh 2021 hingga 2023, Malaysia telah meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion.

Moody Rating’s sebelum ini dilaporkan menjangkakan keperluan tenaga elektrik untuk pusat data di Malaysia meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 500 megawatt (MW) dalam tempoh dua tahun akan datang. 

"Memang sudah tiba masanya untuk penjana elektrik yang menggunakan sumber asli seperti arang batu dan gas, terutama telah beroperasi selama 25 hingga 30 tahun digantikan dengan TBB yang lebih efisien dan mesra alam," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Beliau berkata penjana elektrik yang telah lama dan beroperasi pada kecekapan rendah menjadikan usaha peralihan kepada TBB satu keperluan yang signifikan. 

“Oleh itu, sebenarnya kerajaan sudah dalam tindakan ke arah itu termasuk pelaksanaan program Solar Skala Besar (LSS5) dan akan datang LSS6,” katanya.

Menurut Jasrul Jamani, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan kehadiran TBB yang tinggi, negara akan memerlukan tempat simpanan tenaga yang besar untuk memastikan tenaga TBB dapat dihantar dengan stabil.

Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) skala utiliti adalah teknologi terkini yang sedang berkembang selari dengan peningkatan kapasiti TBB, katanya.

Beliau berkata, selain itu, BESS dapat memastikan pengoperasian pusat data tidak terputus sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan tenaga.

Jasrul Jamani berkata BESS juga mampu membantu pihak pusat data mengurangkan kos bil elektrik dengan menyimpan tenaga pada waktu luar puncak dan menggunakannya pada waktu puncak. 

"Justeru, perkembangan pusat data di Malaysia adalah seiring dengan langkah perubahan tenaga negara daripada penjana elektrik konvensional kepada TBB,” katanya.

Sementara itu, katanya kehadiran pusat data ke Malaysia secara langsung memberi perolehan pendapatan yang baik kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) memandangkan industri berkenaan memerlukan sumber elektrik yang tinggi dan berterusan. 

Tahap kestabilan dan kemampuan sistem TNB adalah sangat baik untuk memenuhi keperluan semua pengguna termasuk pusat data bersandarkan unjuran kadar rizab margin tenaga di Semenanjung Malaysia bagi 2024 hingga 2030 iaitu antara 28 hingga 36 peratus, katanya.

"Mungkin ada yang terfikir, bila kita ada banyak pusat data yang menggunakan sumber tenaga elektrik yang tinggi, TNB perlu bina loji tenaga baharu. Sebenarnya tidak seperti itu.

"Memandangkan kita mempunyai lebihan kapasiti dan kadar rizab margin yang tinggi, oleh itu, kedatangan pusat data ini sebenarnya adalah satu perniagaan yang baik kepada TNB. 

"Tiada isu mengenai kebolehpercayaan dan kestabilan grid mungkin terjejas memandangkan pembangunan pusat data dan TNB mempunyai kapasiti untuk menampung permintaan tinggi daripada pusat data," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan