AM

Syarikat Perladangan Dicadang Kembalikan 20 Peratus Tanah Pajakan Untuk Faedah Rakyat

01/09/2024 06:36 PM

BAGAN DATUK, 1 Sept (Bernama) -- Syarikat-syarikat perladangan yang telah tamat tempoh pajakan dengan kerajaan, dicadang untuk mengembalikan 20 peratus daripada keluasan tanah yang dipajak itu kepada kerajaan negeri, jika mahu kembali menyambung pajakan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu, yang sedang dikaji dengan teliti oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bersama kerajaan negeri termasuk Wilayah Persekutuan, sebelum ia dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) MEB berkata cadangan itu, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membolehkan rakyat mendapat faedah daripada tanah yang dikembalikan itu.

“Kita minta tanah-tanah estet supaya apabila tamat tempohnya, yang lazimnya semasa zaman Inggeris dulu diberikan (pajakan) 99 tahun, dikembalikan hanya 20 peratus sahaja, jika mahu disambung penggunaannya.

“20 peratus itu diberikan balik kepada kerajaan negeri untuk kerajaan negeri dapat faedah dibangunkan untuk rakyat,” katanya katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam, di sini hari ini.

Sementara itu mengenai projek di Kampung Sungai Pergam Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata projek membina dan menaik taraf Jalan Utama Parit 1 sehingga Parit 10 itu, telah diluluskan tahun lepas di bawah Rancangan Boleh Pinda Ke-3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos pembinaan RM88 juta.

Projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang empat kilometer (km) dan membina jalan baharu sepanjang 2.5km, yang akan menghubungkan jalan utama Kampung Sungai Pergam sehingga ke Jalan Persekutuan FT69, yang dijangka siap pada 2028.

Beliau berkata projek itu akan melebarkan lagi jalan dan memendekkan perjalanan penduduk Kampung Sungai Pergam ke Pekan Bagan Datuk.

Bagi projek menaik taraf jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro' pula, ia melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada kepada dua lorong sepanjang 114 meter dan menggantikan jambatan lama dengan pembentung, melibatkan kos RM2.9 juta.

Jambatan itu berada di persimpangan utama Pekan Bagan Datuk yang menghubungkan Kg Pasang Api dan kawasan berhampiran ke laluan utama Jalan Persekutuan FT69.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan