SUKAN

SSTMI Juara Melaka International Rugby 10s Anjuran Bank Muamalat

01/09/2024 06:38 PM

MELAKA, 1 Sept (Bernama) -- Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor muncul juara kejohanan ‘Melaka International Rugby 10s’ bagi kategori terbuka lelaki antarabangsa dan tempatan.

Kejohanan yang berlangsung sempena ‘Karnival Merdeka Kehidupan Lebih Baik, Bersama Bank Muamalat’ anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan kerjasama kerajaan Melaka itu diadakan di Stadium Hang Tuah di sini.

Kejohanan itu turut mempertandingkan kategori bawah 14 tahun, yang menyaksikan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas (Akademi Ragbi Melaka) muncul juara manakala Melaka High School Old Boys pula johan bagi kategori veteran.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Presiden Persatuan Ragbi Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat Zury Rahimee Zainal Abiden ketika ditemui pemberita berkata ‘Karnival Merdeka Kehidupan Lebih Baik, Bersama Bank Muamalat’ yang mengangkat tema perpaduan, kebersamaan dan patriotisme bermula Jumaat lepas hingga hari ini, turut dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Beliau berkata karnival terbabit berjaya menarik minat pencinta sukan ragbi, tajaan dan rakan kerjasama seperti Pos Malaysia dan Strike Rugby Gear sekali gus merangsang ekonomi tempatan melalui jualan bazar dan pameran kraf tangan daripada usahawan tempatan.

“Sepanjang tiga hari ini, turut berlangsung pembukaan bazar makanan, minuman dan kraf tangan tempatan, pameran dan jualan produk usahawan iTEKAD Bank Muamalat.

“Selain itu, penyediaan klinik gigi bergerak oleh rakan perniagaan Universiti Malaya serta pameran auto yang dibuka untuk orang ramai serta pengunjung berpeluang memohon produk serta perkhidmatan yang ditawarkan Bank Muamalat sepanjang karnival itu berlangsung di gerai Bank Muamalat,” katanya.

Zury Rahimee berkata Bank Muamalat sentiasa meneroka peluang kerjasama strategik dengan mana-mana entiti sama ada pihak swasta atau kerajaan bagi penganjuran program seumpama yang boleh memanfaatkan kedua-dua pihak seperti kerjasama dengan kerajaan Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan