AM

UNIMAS Rintis Amalan Sains Terbuka Untuk Perluas Perkongsian Ilmu

03/09/2024 03:23 PM

KOTA SAMARAHAN, 3 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melaksanakan amalan Sains Terbuka melibatkan seluruh disiplin akademiknya sebagai langkah berani untuk mengiktiraf potensi sesebuah  penemuan saintifik dan impaknya kepada masyarakat.

Naib Canselor UNIMAS Profesor Ahmad Hata Rasit berkata inisiatif julung kali itu mampu menonjolkan lagi visi universiti dan meletakkannya di barisan hadapan dalam gerakan Sains Terbuka global. 

“Di UNIMAS, kami percaya bahawa ilmu pengetahuan terbuka untuk semua orang. Kami mewujudkan persekitaran yang menjurus kepada kerjasama dan inovasi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada penyelidik kami bahkan komuniti saintifik global dan masyarakat umum,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Sains Terbuka telah memperoleh momentumnya di seluruh dunia sebagai paradigma yang menggalakkan aksesibiliti dan perkongsian hasil penyelidikan serta melancarkan kerjasama dalam kalangan penyelidik di UNIMAS mahupun dengan rakan kongsi antarabangsa mereka.

Kerjasama tersebut dipercepatkan lagi dengan penyertaan UNIMAS dalam projek Open Asia yang dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah menerusi Program Erasmus+ bagi menggalakkan dan melaksanakan amalan Sains Terbuka yang diambil daripada institusi terkemuka Eropah di seluruh Asia.

Di peringkat domestik pula, penyelidik UNIMAS berkerjasama rapat dengan Universiti Malaya dan Universiti Sains Sabah untuk mewujudkan rangka kerja dan platform Sains Terbuka seiring dengan Platform Sains Terbuka Malaysia.

UNIMAS mencapai kemajuan ketara dalam amalan Sains Terbukanya menerusi beberapa inisiatif utama termasuk membangunkan Repositori Akses Terbuka iaitu penyelidikan bebas berkongsi penerbitan, set data dan hasil penyelidikan lain mereka.

Universiti itu juga menawarkan program latihan dan bengkel untuk melengkapkan para penyelidik dan pelajarnya dengan kemahiran diperlukan dalam amalan Sains Terbuka, selain berharap dapat memberi inspirasi kepada institusi lain di Malaysia dan seluruh dunia untuk menerima Sains Terbuka.

“Kami teruja dengan masa depan Sains Terbuka di UNIMAS. Dengan merobohkan halangan dan membuka penyelidikan kami kepada semua, bukan sahaja kami dapat memajukan bidang sains tetapi juga menyumbangkan kepada masyarakat ke arah lebih baik,” kata Ahmad Hata.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan