EKONOMI

Johor Rekod Nilai Dagangan Berjumlah RM753 Bilion Tahun Lepas

03/09/2024 03:46 PM

JOHOR BAHRU, 3 Sept (Bernama) -- Johor merekodkan nilai dagangan berjumlah RM753 bilion sepanjang tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han.

Beliau berkata angka itu merangkumi 29 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara. 

“Pencapaian ini bukan statistik semata-mata sebaliknya adalah bukti kepentingan Johor dan peranan penting yang dimainkannya dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Johor komited mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan perniagaan dan pelaburan. Kita akan berterusan menambah baik infrastruktur dan memudahkan proses perundangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Greif Malaysia (Pasir Gudang), di sini, hari ini. 

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Greif Ole Rosgaard dan Ketua Eksekutif Invest Johor Natazha Harris. 

Sementara itu, Lee berkata pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menambah lagi nilai komersil sektor pelaburan di negeri ini.

“Kerjasama unik antara Malaysia melalui Johor dengan Singapura bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi, inovasi serta dagangan rentas sempadan kedua-dua negara.

“Saya percaya inisiatif ini akan turut beri manfaat kepada pelaburan asing yang menjalankan perniagaan di negeri ini,” katanya.

Berhubung pembukaan Greif, Lee berkata syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu telah membuat pelaburan bernilai hampir RM50 juta di Pasir Gudang dengan menyediakan 150 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.

Greif merupakan syarikat pengeluar produk pembungkusan yang mempunyai fasiliti pengeluaran di tiga negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Produk yang dihasilkan termasuk pembungkusan industri, steel drums, plastic drums dan intermediate bulk containers (IBCs).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan