EKONOMI

India Mahu Jadikan Malaysia Sebagai Hab Dan Batu Loncatan Kuasai Pasaran Asia Tenggara

03/09/2024 04:52 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) – India ingin memanfaatkan keunggulan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2024 bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai habnya serta batu loncatan untuk menguasai pasaran Asia Tenggara.

Ini disebabkan, seperti Malaysia, India juga melaksanakan pendekatan Dasar Pandang ke Timur, namun sasarannya bukan Jepun, tetapi sebaliknya rantau Asia Tenggara yang menguntungkan dengan prospek lebih 670 juta pengguna yang berpotensi. 

Justeru, hubungan dengan Malaysia dilihat sangat sesuai bagi India untuk memudahkan negara itu meneroka ke rantau yang sedang pesat membangun ini. 

Dalam masa yang sama, anggota-anggota ASEAN juga sedang berusaha untuk mencari rakan dagang dan pelabur bagi meningkatkan semula peluang serta keadaan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 tiga tahun lepas. 

Memandangkan situasi ini, kedua-dua negara berpeluang untuk meraih manfaat besar menerusi sinergi yang menjanjikan pulangan yang baik. 

Satu daripada aspek penting yang perlu dipertimbangkan adalah India akan menjadi ekonomi ketiga terbesar di dunia menjelang 2027. Ia kini merupakan negara paling ramai penduduk di dunia dengan anggaran 1.45 bilion orang. 

Oleh itu, membina hubungan itu adalah penting, lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang menggandakan usahanya untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan di peringkat global.

Tidak kurang pentingnya adalah sokongan penuh India terhadap permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS, sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri dari Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu, sama ada sebagai ahli penuh atau sebagai negara rakan strategik.

India dengan jelas menyatakan bahawa "Malaysia adalah rakan kongsi yang sangat penting, jiran rapat dan boleh membawa nilai yang signifikan kepada mana-mana perkongsian."

Hasrat ini diperlihatkan sewaktu lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India bulan lepas apabila beliau dan rakan sejawatannya Narendra Modi menyatakan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Susulan lawatan itu, hubungan Malaysia-India telah ditambah baik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP).

Peralihan daripada ESP kepada CSP ini amat penting terutamanya kepada syarikat swasta untuk mempercepat pelaksanaan projek. 

Begitu juga dari segi ekonomi, terdapat aktiviti yang rancak dengan perdagangan dua hala melonjak mencecah US$20 bilion dan Malaysia kini menjadi rakan dagang ketiga terbesar India dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Syarikat pemula niaga teknologi kewangan, sistem pembayaran rentas sempadan dan sistem berasaskan Unified Payments Interface (UPI) merupakan adalah pemacu baharu bagi hubungan perdagangan ini.

Semasa lawatan tiga hari Anwar ke India dari 19-21 Ogos itu sebanyak 12 Memorandum Persefahaman (MOU) telah dimeterai dan kedua-dua pemimpin turut mengarahkan menteri mereka menyediakan laporan mengenai kemajuannya dalam tempoh tiga bulan.

Selain aspek diplomasi, ini juga memerlukan penglibatan kementerian, agensi, pegawai-pegawai berkaitan serta sektor swasta bekerja keras bagi mencapai hasil atau keputusan bermakna serta tidak membiarkan MOU berkenaan gagal.

Berikutan itu, laporan-laporan ini perlu mengandungi hasil yang mampu diukur dan dapat menyuntik kepercayaan dalam meningkatkan hubungan Malaysia-India kepada CSP.

Tidak dinafikan, CSP berteraskan pada perbincangan meluas mengenai perdagangan, pertahanan dan keselamatan, penjagaan kesihatan, teknologi digital, semikonduktor, tenaga boleh baharu, hidrogen hijau serta pembangunan mampan.

Pengulas sosioekonomi dan politik Datuk T. Kumararajah berkata walaupun CSP dan ESP mungkin dilihat sebagai tidak lebih daripada sekadar terminologi, realitinya kedua-duanya memaparkan anjakan penting dalam usaha memperdalam skop hubungan dua hala.

Anjakan itu sudah pun bermula dengan langkah firma India iaitu Immerso AI-IP yang juga sebahagian daripada Eros Investments Group (Kumpulan Pelaburan Eros) mengumumkan pelaburan RM1 bilion bagi mewujudkan taman kecerdasan buatan (AI) dan studio AI pertama Malaysia.

Inisiatif ini akan mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk pembangunan sebuah universiti dan pusat data AI.

Bidang baharu bagi kerjasama perniagaan turut melibatkan pertahanan yang menyaksikan kalangan jurutera India terbabit dalam kerja-kerja penyelenggaraan komponen enjin jet pejuang Sukhoi buatan Rusia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

 

PEMADANAN PERKAKASAN IT MALAYSIA, KEPAKARAN PERISIAN INDIA

 

Tumpuan Malaysia terhadap  aspek perkakasan komputer yang turut dijana menerusi pewujudan Koridor Raya Multimedia lebih 20 tahun lepas, mampu melengkapi revolusi kepakaran India dalam perisian.

Industri semikonduktor misalnya, boleh menjadi satu bidang yang dapat menyaksikan kedua-dua negara menggabungkan kepakaran masing-masing, kata Kumararajah.

Beliau juga menyifatkan Malaysia mempunyai kemahiran unik dalam pembuatan semikonduktor namun kekurangan kepakaran dalam reka bentuk yang boleh menyaksikan kehadiran pakar perisian India memainkan peranan dalam memajukan reka bentuk dan pembangunan berkaitan.

Jika bergerak secara sendirian, India mungkin memerlukan tempoh selama 30-40 tahun untuk mencapai tahap kepakaran pembuatan Malaysia, namun dengan menggabungkan kelebihan Malaysia, India mampu melonjak ke dalam bidang-bidang maju seperti reka bentuk bersepadu.

 

 

MEMACU PELANCONGAN DAN KESALINGHUBUNGAN UDARA

 

Pada tahun ini, sebanyak sejuta pelancong India dijangka bertandang ke Malaysia manakala 200,000 rakyat Malaysia ke India, susulan usaha mudah cara menerusi rejim tanpa visa ditawarkan oleh kedua-dua negara.

Bagi melonjakkan bidang pelancongan ini, kalangan pegawai Kementerian Pengangkutan telah memulakan perbincangan bagi meningkatkan bilangan pesawat kedua-dua negara yang pada masa ini mencecah sebanyak 220 penerbangan seminggu.

Apa yang pasti, sepertimana hubungan-hubungan lain, kedua-dua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan atau saling bekerjasama.

Malaysia dan India juga perlu gigih dalam meningkatkan hubungan sosiobudaya dan ekonomi yang terjalin sejak sekian lamanya dan merentasi pelbagai sektor.

Kedua-dua negara juga tidak boleh membiarkan halangan mengekang usaha bagi mencapai hubungan ekonomi lebih baik di bawah CSP selain kekal teguh dalam meraih kemakmuran bersama demi negara dan rakyat masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan