POLITIK

Draf MoU Peruntukan Pembangkang: PN Akan Bincang Isnin Depan - Takiyuddin

03/09/2024 08:54 PM

KOTA BHARU, 3 Sept (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan maklum balas kepada Kerajaan Perpaduan berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan selepas selesai taklimat dan perbincangan bersama semua Ahli Parlimen pembangkang pada Isnin depan.

Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pandangan kesemua Ahli Parlimen pembangkang perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai syarat-syarat yang ditetapkan dalam draf MoU peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang itu. 

Takiyuddin bagaimanapun berkata beliau tidak dapat menjelaskan secara terperinci mengenai butiran draf MoU itu memandangkan dokumen yang diberikan kepadanya pada 6 Ogos lepas itu berstatus rahsia.

"Perbincangan ini akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Sept ini dan sebagaimana saya bayangkan serba sedikit draf yang diberikan kepada kita itu mempunyai unsur-unsur yang mensyaratkan agar Ahli Parlimen PN mengikutinya untuk kerajaan meluluskan peruntukan.

"Saya tidak boleh komen banyak kerana perlu mengambil pandangan kesemua Ahli Parlimen PN terlebih dahulu dan ia di luar bidang kuasa saya," katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai Kota Bharu Half Marathon (KBHM), di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata selepas perbincangan itu, wakil dari gabungan berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan berharap akan mendapat keputusan kolektif.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah kerajaan tidak menyatakan amaun peruntukan dalam draf MoU itu adalah disebabkan terma dalam perjanjian itu masih belum dipersetujui oleh blok pembangkang.

Beliau berkata sekiranya pembangkang tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam MoU itu, mereka seharusnya menyatakannya melalui saluran betul iaitu perundingan, bukannya melalui media.

Semalam, Takiyuddin dilapor berkata kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15 bagi membolehkan mereka menerima peruntukan, selain turut mendakwa tiada amaun peruntukan yang diletakkan dalam draf MoU berkenaan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan