AM

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Forum Intelektual Diraja UTM Di Johor

03/09/2024 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, forum berjudul ‘Pemeliharaan Islam Terhadap Perubahan Iklim dan Kelestarian Alam Sekitar’ itu, diadakan di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Skudai, Johor Bahru.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang merupakan Canselor UTM disambut Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor, yang juga Pro-Canselor UTM.

“Perbincangan meneroka perkara berkaitan alam sekitar dan mengenal pasti tindakan praktikal yang boleh diambil, untuk menggalakkan kelestarian alam, selaras dengan panduan nilai-nilai Islam.

“Berpandukan kepada konsep khalifah, perbincangan tertumpu kepada dimensi etika dan peranan agama dalam menjaga alam sekitar seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis,” menurut hantaran tersebut.

Topik perbincangan forum itu dikupas mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Baharuddin dari Fakulti Sains Universiti Malaya, manakala Prof Adjung Akademi Tamadun Islam UTM Dr Shaikh Mohd Saifudeen Shaikh Mohd Salleh, sebagai moderator forum berkenaan.

Turut hadir Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, Pengerusi Pusat Kelestarian Johor Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abd Rahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan