DUNIA

Lebih 160,000 Kanak-kanak Gaza Terima Vaksin Polio Dalam Dua Hari

04/09/2024 10:57 AM

NEW YORK, 4 Sept (Bernama-Xinhua) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa melaporkan lebih 160,000 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun di tengah Gaza menerima vaksin polio dalam tempoh dua hari pertama kempen imunisasi dilaksanakan, lapor Xinhua.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan meskipun terdapat jeda sementara yang membolehkan pelancaran kempen vaksinasi kecemasan, keganasan masih berterusan di bahagian lain di Gaza.

"Pengeboman Israel, operasi darat dan pertempuran sengit masih berlaku di beberapa kawasan menyebabkan lebih banyak kematian, perpindahan dan kemusnahan kediaman serta infrastruktur awam.

"Orang ramai terpaksa melarikan diri ke kawasan sesak dengan keadaan persekitaran yang sangat daif, menyumbang kepada penularan penyakit akibat kekurangan air bersih dan kemudahan sanitasi," menurut OCHA.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan dianggarkan 74,000 kanak-kanak menerima suntikan vaksin pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan dalam tempoh dua hari melebihi 160,000.

Kempen vaksinasi selama enam hari ini dimulakan di kawasan tengah Gaza selepas seorang bayi berusia 10 bulan lumpuh separuh badan akibat polio.

"Pihak-pihak yang terlibat mesti sentiasa menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

 "Orang awam mesti dilindungi dan keperluan asas mereka seperti makanan, tempat tinggal, air dan kesihatan mesti dipenuhi," kata OCHA.

Pejabat kemanusiaan memaklumkan rakan kongsi tempatannya, dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) membaiki talian pengairan air utama dari Israel ke Khan Younis yang rosak semasa operasi ketenteraan baru-baru ini, membawa kepada pemulihan sebahagian perkhidmatan air.

UNICEF juga menghantar lebih 12,000 liter bekalan air ke Gaza City dan Jabalya buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, namun bekalan air dan sanitasi di Gaza kekal kritikal.

Pejabat itu berkata bahawa UNICEF bersama-sama dengan OCHA, Program Pembangunan PBB dan pertubuhan bukan kerajaan menilai keadaan air, kebersihan dan sanitasi di empat tapak perpindahan di Khan Younis dan Deir al Balah.

OCHA berkata bahawa serangan dan sekatan terus menjejaskan operasi kemanusiaan.

Sejak Januari 2024, 16 insiden yang melibatkan kenderaan PBB terkena serangan direkodkan di Gaza.

"Perlu diingatkan bahawa akses kemanusiaan yang selamat dan tidak terhalang amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan menyediakan bantuan asas di seluruh Gaza," menurut OCHA.

Di Tebing Barat, taktik perang oleh tentera Israel terus mengorbankan nyawa, menyebabkan kecederaan dan perpindahan serta menghalang akses orang ramai kepada perkhidmatan asas.

PBB merekodkan lebih 20 kematian dalam tempoh seminggu yang lalu, termasuk kanak-kanak.

OCHA dan organisasi lain sedang menilai kerosakan dan keperluan kemanusiaan di kawasan-kawasan terjejas, tetapi menghadapi kesukaran kerana sekatan oleh pihak berkuasa Israel.

"Akses kemanusiaan mesti sentiasa dipermudahkan," tegas OCHA.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan