JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tiga Anggota 'Geng Ah Meng', Rampas Arak Tiruan

04/09/2024 03:22 PM

JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki anggota kumpulan ‘Geng Ah Meng’ serta merampas arak tiruan pelbagai jenama dalam serbuan di dua kilang di Taman Johor dan Taman Kempas Utama di sini, pada Isnin lepas dan semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata kesemuanya berusia lingkungan 44 hingga 50 tahun dan sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi kira-kira enam bulan. 

“Dalam serbuan pertama, polis merampas beberapa barangan termasuk 564 kotak arak, dua tong plastik, empat pam elektrik dan sebungkus pelekat ‘duty paid’ kastam bernilai RM850,000.

“Serbuan kedua pula, barangan dirampas antaranya sebuah lori tiga tan, lima kereta, 18 bungkusan pelekat botol arak jenama terkemuka dan dua pelekat ‘duty paid’ kastam bernilai RM400,000. Keseluruhan rampasan di kedua-dua lokasi bernilai RM1.25 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kilang pertama digunakan untuk memproses dan mengedar arak tiruan di sekitar bandar raya ini, manakala kilang kedua dijadikan sebagai tempat penyimpanan arak itu.

Beliau berkata kesemua lelaki itu negatif terhadap dadah, namun seorang daripadanya memiliki rekod kesalahan lampau bersabit pertaruhan.

Mereka katanya direman hingga Isnin dan Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Balveer Singh berkata pihaknya memburu dua lagi lelaki tempatan berusia 48 dan 50 tahun dengan seorang daripadanya dipercayai dalang Geng Ah Meng.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan