DUNIA

Hospital Korea Selatan Kurang Kakitangan, Jejas Operasi Bilik Kecemasan

04/09/2024 03:07 PM

SEOUL, 4 Sept (Bernama-Yonhap) -- Kementerian Kesihatan Korea Selatan pada Rabu mula menghantar doktor tentera dan pegawai perubatan awam ke bilik kecemasan yang kekurangan kakitangan, namun kebimbangan mengenai gangguan terhadap sistem kesihatan semakin meningkat.

Yonhap melaporkan seramai 15 doktor tentera dihantar ke lima hospital termasuk Pusat Perubatan Universiti Wanita Ewha di Seoul dan Hospital Universiti Ajou di Suwon, manakala Kerajaan bercadang menghantar kira-kira 230 doktor tentera dan pegawai perubatan awam ke hospital-hospital lain di seluruh negara.

Langkah ini diambil selepas kebanyakan daripada 13,000 doktor muda Korea Selatan meletak jawatan sejak Februari sebagai protes terhadap keputusan kerajaan untuk menambah kuota pelajar perubatan secara besar-besaran bermula tahun depan.

Tindakan ini memberi tekanan kepada sistem perubatan negara, memaksa hospital mengurangkan operasi pembedahan, perkhidmatan pesakit luar dan operasi bilik kecemasan.

Kerajaan mendakwa keadaan masih terkawal, tetapi doktor dan pakar berkata penghantaran doktor tentera hanya penyelesaian sementara.

Sehingga Selasa, tiga hospital termasuk Hospital Universiti Nasional Kangwon di Chuncheon memendekkan waktu operasi bilik kecemasan pada waktu malam dan hujung minggu.

Keadaan dijangka bertambah buruk semasa cuti Chuseok pada pertengahan September, dengan beberapa hospital seperti Hospital St. Mary di Seoul mempertimbangkan untuk menghentikan operasi bilik kecemasan pada waktu malam.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan