EKONOMI

UEM Sunrise Gesa Pemaju Lebih Inovatif Tangani Kehidupan Mampan - UEM Sunrise

04/09/2024 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pemaju hartanah terkemuka UEM Sunrise Bhd menggesa pihak berkepentingan dalam industri hartanah untuk memanfaatkan teknologi bagi menjadikan kemampanan sebagai keutamaan apabila membangunkan kawasan komuniti.

Gesaan bagi inovasi itu adalah bagi memastikan komuniti untuk terus berkembang dalam tempoh jangka panjang, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Sufian Abdullah kepada Bernama di luar Forum Hartanah sulung yang diadakan dengan kerjasama CLSA Malaysia, Khazanah Nasional Malaysia Bhd dan Advancing Malaysia hari ini.

Forum bertemakan “Form to FUTURE” itu dihadiri oleh lebih 600 pemimpin industri dan pakar yang bertujuan mengukuhkan komitmen UEM Sunrise untuk membentuk semula landskap hartanah melalui kemampanan dan kehidupan masyarakat yang adil.

Mengulas selanjutnya, Sufian berkata untuk memahami keperluan pihak berkepentingan yang semakin berkembang, persoalan provokatif mengenai dasar, saiz hartanah dan harga akan menjadi antara isu yang perlu ditangani.

"Saya berpendapat antara perkara yang sering kita abaikan adalah kita menuju negara yang mana majoriti berbanding purata penduduk adalah melebihi 65 tahun.

“Kita perlu mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk semua dapat hidup selamat dan terjamin dalam komuniti yang kita bangunkan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak inovasi dan penelitian terhadap teknologi perlu diwujudkan untuk membina komuniti sedemikian.

Mengenai potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sufian berkata terdapat banyak sinergi antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, katanya UEM Sunrise bersedia menerima pelabur yang mencari pelaburan baharu dalam hartanah di Johor.

Menurutnya beliau berharap rakyat Singapura mempertimbangkan projek UEM Sunrise apabila mereka merentas sempadan untuk mencari pelaburan hartanah memandangkan UEM Sunrise mempunyai banyak tanah di Johor.

Kumpulan itu turut terlibat dengan banyak penggiat industri China seperti pengilang dan pelabur memandangkan Malaysia boleh menyediakan simpanan tanah, platform, geografi dan sumber yang sesuai dari segi keupayaan manusia untuk terus menjadi pemangkin pelaburan dari China.

Selain itu adalah minat terhadap pusat data, logistik dan industri berkaitan tenaga boleh  baharu, katanya.

Mengenai harapan kumpulan terhadap Belanjawan 2025, Sufian berharap, di peringkat nasional, lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada perumahan mampu milik yang berkesan dan mampan, di samping membantu pemaju menyediakan kuantiti sesuai dan kategori rumah mampu milik berkualiti yang sewajarnya.

"Ini bukan sekadar dilakukan kerana keperluan (menyediakan rumah mampu milik) tetapi untuk menghasilkan lebih banyak rumah berkualiti yang masyarakat ingin tinggal.

"Ia juga bukan untuk mengasingkan mereka daripada komuniti yang lebih besar. Tidak mengira apakah tahap pendapatan mereka, mereka harus menjadi sebahagian daripada komuniti yang kita bina untuk masa depan," kata Sufian.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran berterusan yang dihadapi pemaju seperti kos pematuhan perlu ditangani dengan libat urus lebih kerap bersama penggubal dasar bagi memastikan pembina dan pemaju dapat menyediakan akses yang adil kepada perumahan lebih baik pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan